Imbasan sinar X menunjukkan pemotong kuku tersekat pada tekak bayi. FOTO Agensi
Imbasan sinar X menunjukkan pemotong kuku tersekat pada tekak bayi. FOTO Agensi
Agensi

New Delhi: Nyawa seorang bayi lelaki di Nashik, India dalam bahaya selepas imbasan sinar-X menemui pemotong kuku tersekat di dalam tekaknya.

Bayi lelaki berusia lapan bulan itu kemudiannya dikejarkan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Kejadian itu disedari ibu bapanya apabila melihat anaknya bermain dengan pemotong kuku berkenaan.

Namun tidak lama selepas itu, bayi terbabit dilihat menelan pemotong kuku berkenaan.

Imbasan sinar X mendapati pemotong kuku berkenaan tersekat dan hampir menyekat saluran pernafasan bayi terbabit.

Malah, pemotong kuku berkenaan mungkin akan masuk ke dalam perut menyebabkan risiko lebih serius menantinya.

Melihat risiko yang semakin tinggi, bayi terbabit kemudian dirujuk di Kolej Perubatan Dr Vasantrao Pawar sebelum pembedahan dijalankan untuk mengeluarkan pemotong kuku itu.

Doktor memaklumkan keadaan bayi itu stabil selepas pembedahan selama beberapa jam selesai dijalankan.

Berdasarkan data perubatan, bayi berkemungkinan mengalami kecederaan pada saluran pernafasan walaupun menelan objek kecil.

Sebelum ini, seorang pakai bedah menemui 23 magnet dalam tubuh kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di Lewes, Sussex, England.

Kanak-kanak itu kemudian dikatakan bermain magnet itu di rumah sebelum mencuba beberapa trend di TikTok yang menunjukkan seseorang melekatkan magnet pada atas dan bawah lidah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 2:30 PM