IKLAN berkenaan. FOTO Agensi
IKLAN berkenaan. FOTO Agensi
Agensi

Sydney: Seorang wanita di Australia sanggup mengeluarkan satu halaman penuh iklan di dalam akhbar untuk membalas dendam terhadap teman lelakinya yang curang.

India Times melaporkan, lebih menarik lagi apabila wanita itu menggunakan kad kredit pasangannya itu.

Pembaca akhbar Mackay & Whitsunday Life di Queensland, terkejut selepas membaca akhbar edisi Jumaat dan melihat iklan halaman penuh daripada seorang wanita dipermainkan bernama Jenny.

"Steve, saya harap awak bahagia dengan dia. Sekarang seluruh bandar akan tahu betapa jahatnya kamu penipu," demikian ayat tertulis dalam iklan itu.

Pada akhir ayat, Jenny memaklumkan Steve bahawa dia sudah membeli iklan itu menggunakan kad kredit pasangannya itu.

"Saya membeli iklan ini menggunakan kad kredit kamu," katanya.

Akhbar itu mengumumkan pada Jumaat yang pihaknya dibanjiri dengan mesej daripada pembaca mengenai iklan di muka surat empat.

"Kami tidak tahu siapa Steve, tetapi nampaknya dia sangat teruk," tulis akhbar itu menerusi hantaran di Facebook (FB).

"Kami tidak akan mendedahkan sebarang butiran mengenai Jenny. Kami tidak mengecaj kad kredit berkenaan," tambahnya lagi.

Terdahulu, seorang wanita menyamar sebagai perekrut kerja LinkedIn untuk membalas dendam terhadap teman lelaki yang menipunya.

Kylah merancang semua perkara ini selama sebulan dan berdasarkan perkongsian gambar di TikTok, wanita itu memakai topi dan sepasang seluar joging berwarna kelabu.

"Apabila bekas teman lelaki saya menipu saya jadi saya menyamar sebagai perekrut LinkedIn dan membuatnya melalui proses temu duga yang panjang selama sebulan kemudian menghantar surat penolakan terperinci kepadanya.

"Resumenya adalah 'sampah'," tulisnya dalam kapsyen.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 1:06 PM