TENTERA rejim Israel di luar sebuah kedai milik penduduk Palestin di Huwara, Tebing Barat. FOTO Reuters
TENTERA rejim Israel di luar sebuah kedai milik penduduk Palestin di Huwara, Tebing Barat. FOTO Reuters
AFP

Baitulmaqdis: Seorang remaja Palestin maut ditembak tentera Israel, pada Jumaat, berhampiran bandar Bethlehem di Tebing Barat yang diduduki rejim zionis.

Kementerian Kesihatan Palestin dalam satu kenyataan berkata, mangsa, Zayd Mohammed Ghouneim ditembak di belakang dan leher, meninggal dunia akibat kecederaan itu ketika dirawat di hospital.

Sementara itu, dihubungi oleh AFP, tentera Israel mendakwa 'suspek membaling batu dan bom molotov' ke arah tenteranya semasa rondaan rutin di daerah Al-Khader di selatan Bethlehem.

"Askar bertindak balas dengan tembakan yang mengenai seorang 'suspek'," kata tentera, sambil menambah bahawa tentera memberikan pertolongan cemas kepada individu yang cedera sebelum memindahkannya ke penjagaan Persatuan Bulan Sabit Merah.

Seramai 19 orang, kebanyakannya orang awam Israel termasuk 18 orang di dalam Israel dan seorang peneroka haram Yahudi Tebing Barat terbunuh dalam serangan di Israel oleh penduduk Palestin dan Arab Israel sejak akhir Mac.

Pasukan keselamatan Israel bertindak balas dengan serbuan di dalam Israel dan Tebing Barat, khususnya di daerah utara Jenin.

Tiga Arab Israel dan seorang komando polis maut, manakala 35 pejuang rakyat Palestin sudah terbunuh di Tebing Barat, termasuk seorang wartawan yang membuat liputan serbuan di Jenin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 10:29 AM