SEORANG lelaki memecahkan ais untuk dibahagikan dengan penduduk setinggan di Ahmedabad, India berikutan cuaca terlampau panas. FOTO Reuters
SEORANG lelaki memecahkan ais untuk dibahagikan dengan penduduk setinggan di Ahmedabad, India berikutan cuaca terlampau panas. FOTO Reuters
Agensi

New Delhi: Ramadan kali ini menjadi tempoh paling panas bagi penduduk di India dan Pakistan dengan suhu mencecah 45 darjah Celsius.

Bulan lalu, ia dianggap sebagai Mac paling panas dalam sejarah India sejak 1961, menjadikan Ramadan ini sangat mencabar bagi umat Islam di India dan Pakistan.

Perdana Menteri India Narendra Modi berkata, suhu meningkat dengan cepat di negara ini dan meningkat jauh lebih awal dari kebiasaan, katanya seperti dilaporkan Guardian.

Jabatan Meteorologi India menjangkakan gelombang panas akan terjadi di utara serta bahagian tengah negara sepanjang minggu ini.

Sementara gelombang panas yang parah mungkin berlaku di Rajasthan barat pada 1 hingga 2 Mei.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Pakistan memberi peringatan bahawa suhu mungkin meningkat 8 darjah Celsius di beberapa bahagian Pakistan, dengan kemuncaknya mencecah 48 darjah Celsius di beberapa bahagian luar bandar.

Guardian melaporkan, cuaca panas itu menyebabkan tapak pelupusan sampah di New Delhi terbakar ketika suhu mencapai 45 darjah Celsius.

Malah, pakar kaji cuaca juga memberi amaran bahawa situasi mungkin lebih parah menjelang akhir bulan ini.

Gelombang panas yang berlaku berisiko menyebabkan penduduk terputus bekalan elektrik dan air.

Kilang di Rajasthan, Gujarat dan Andhra Pradesh di India berdepan masalah bekalan eletrik yang kerap terhenti kerana penggunaan penyaman udara dan kipas angin terlalu tinggi.

Malah, operator tenaga elektrik juga berdepan masalah kekurangan arang batu yang menjadi sumber elektrik di negara dengan penduduk hampir 1.4 bilion itu.

Beberapa daerah turut berdepan kemungkinan kemarau memandangkan musim hujan dijangka berlaku pada Jun dan Julai nanti.

Masalah bekalan air ini akan memberi kesan kepada petani khususnya bagi sektor tanaman gandum di saat India sedang meningkatkan eskport gandumnya bagi menampung kekurangan bekalan global akibat peperangan Rusia-Ukraine.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2022 @ 7:00 AM