BILIK bersebelahan kandang harimau. FOTO Agensi
BILIK bersebelahan kandang harimau. FOTO Agensi
Agensi

Beijing: Sebuah hotel di Taman Safari Nantong di wilayah Jiangsu menawarkan pengalaman bilik bersebelahan kandang harimau.

Hotel yang terletak dalam taman safari ini menerima kecaman masyarakat selepas mempromosikan 'bilik pemangsa' kepada pengunjung.

Pengunjung juga dikatakan akan merasai pengalaman untuk menyaksikan secara langsung kehidupan haiwan pemangsa itu dari dalam bilik.

Terdapat empat bilik dalam hotel berkenaan yang menawarkan lokasi bersebelahan kandang harimau.

Bagi tujuan keselamatan pengunjung, cermin bilik yang digunakan juga adalah kalis letupan.

Saluran berita tempatan, Jimu News berkongsi video suasana di bilik berkenaan yang mengundang kecaman umum.

Orang ramai menganggap hotel berkenaan sebagai kejam kerana mengambil kesempatan mengaut keuntungan menggunakan haiwan sebagai daya penarik.

Pegawai Biro Pelancongan dan Budaya Nantong memaklumkan pihaknya akan menilai semula projek berkenaan.

Platform media sosial Weibo turut dihujani komen yang mengutuk tindakan hotel itu menggunakan harimau sebagai tarikan.

"Apa tujuan ia dibuat? Adakah disebabkan untuk menyambut tahun harimau?

"Adakah kaca yang digunakan ini cukup kuat? Jadi, anda tidak tidur dan hanya menonton pergerakan harimau sepanjang malam?" kata netizen.

Malah ramai yang menganggap tindakan itu sebagai penganiayaan terhadap haiwan.

Taman safari itu sebelum ini terkenal sebagai lokasi tarikan pelancong turut memiliki restoran menggunakan tema harimau.

Dalam pada itu, pengurusan taman berkenaan mempertahankan promosi bilik berkenaan dengan menyatakan bahawa ia adalah selamat.

Bagaimanapun, ia menyatakan bilik itu masih dalam proses ubah suai dan menunggu kebenaran untuk beroperasi daripada pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 7:00 AM