Produk yang diimport secara haram. - FOTO Ihsan ICA
Produk yang diimport secara haram. - FOTO Ihsan ICA
Agensi

Singapura: Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) mematahkan percubaan untuk mengimport secara haram 'bak kwa' dan 'pork floss' menerusi sempadan darat Singapura sepanjang dua minggu lalu.

Pegawai mengesan 169 karton dan 11 paket 'bak kwa' yang tidak diluluskan serta tiga karton 'pork floss' dari Malaysia, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) dalam satu catatan Facebook hari ini.

'Bak kwa' adalah sejenis daging barbeku yang manis.

"Setakat ini, tiada pertubuhan di Malaysia yang diberi kelulusan untuk mengeksport 'bak kwa' dan 'pork floss' ke Singapura.

"Kami sedang menyiasat bagaimana import haram ini boleh berlaku," katanya seperti dilaporkan CNA.

Daging dan produk daging termasuk 'bak kwa' dan 'pork floss' hanya boleh diimport daripada sumber-sumber diluluskan, walaupun untuk untuk kegunaan peribadi.

"Produk-produk makanan yang diimport secara haram adalah daripada sumber-sumber tidak diketahui dan boleh menimbulkan risiko terhadap keselamatan makanan.

"Pengguna dinasihati supaya membelinya daripada peruncit yang sah. Jika ragu-ragu, dapatkan lebih banyak maklumat daripada pembekal mengenai sumber barangan itu sebelum membuat pembelian," kata SFA.

Pesalah yang mengimport secara haram produk-produk daging boleh didenda sehingga SG$50,000, dihukum penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pesalah berulang boleh dikenakan denda sehingga SG$100,000, dihukum penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 6:00 PM