ROBOT ‘seladang mekanikal’ mampu menjayakan pelbagai misi sukar termasuk operasi ketenteraan. FOTO China Central Television (CCTV)
ROBOT ‘seladang mekanikal’ mampu menjayakan pelbagai misi sukar termasuk operasi ketenteraan. FOTO China Central Television (CCTV)
Agensi

Beijing: China membangunkan robot bionik menggunakan kuasa elektrik bagi penghantaran barangan dan sektor logistik yang semakin mencabar.

Robot berkenaan juga berupaya digunakan untuk misi peninjauan dalam persekitaran kompleks yang mencabar untuk askar.

Selain itu, robot berkenaan juga berkeupayaan untuk memasuki kawasan sempadan terpencil dan zon tempur yang sangat berisiko, kata penganalisis pada Ahad.

Berjalan dengan empat kaki, robot ini dibangunkan China adalah yang terbesar di dunia, paling berat dan berkemampuan digunakan pada muka bumi yang mencabar, lapor China Central Television (CCTV).

Berdasarkan laporan, robot itu berketinggian lebih separuh daripada individu dewasa, ketika berjalan, dan panjangnya kira-kira dua kali ganda ketinggiannya.

Ia seberat 160 kilogram dan mampu berlari sehingga 10 kilometer sejam.

Robot yang dianggap 'seladang mekanikal' itu dilengkapi sensor yang boleh mengesan perubahan pada persekitaran.

Ia juga berkebolehan mengesan pelbagai bentuk muka bumi termasuk anak tangga, parit dan tebing termasuk jalan berlumpur, padang rumput, padang pasir dan salji, kata laporan itu.

Robot ini boleh digerakkan untuk menghantar bekalan makanan ke kawasan pedalaman dan berisiko yang tidak boleh dilalui kenderaan.

Ia adalah pilihan terbaik untuk misi di kawasan sempadan selain digunakan untuk operasi pemantauan yang tidak memerlukan tenaga manusia.

Selain itu, ia juga sesuai untuk kawasan beraltitud tinggi dan hutan tebal, kata pegawai tentera China yang enggan dikenali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 6:45 AM