GUNUNG Semeru yang kelihatan dari Kampung Sumberwuluh di Lumanjang, hari ini. FOTO AFP.
GUNUNG Semeru yang kelihatan dari Kampung Sumberwuluh di Lumanjang, hari ini. FOTO AFP.
Agensi

Jakarta: Gunung Semeru di Pulau Jawa meletus tiga kali hari ini, menurut Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi Indonesia (PVMBG).

Dalam perkongsian di Twitter, PVMBG memaklumkan letusan pertama pada 1.02 pagi waktu tempatan dengan ketinggian abu kira-kira 1,000 meter. Rekod seismograf menunjukkan letusan berdurasi 297 saat dan amplitud maksimum 20mm.

Gunung itu meletus lagi pada 2.44 pagi waktu tempatan selama 454 saat, manakala letusan ketiga dirakam pada 5.54 pagi.

"Abu dimuntahkan berwarna putih, kelabu dan coklat pada kadar sederhana hingga tebal, hala ke arah tenggara," menurut PVMBG pada Selasa yang dilapor CNN Indonesia.

Agensi itu menasihati penduduk agak tidak menghampiri atau melakukan sebarang aktiviti dalam radius satu kilometer (km) dari gunung berkenaan dan jarak 5 km arah bukaan kawah di sektor tenggara-selatan.

Penduduk diminta berwaspada terhadap awan panas, lava dan lahar mengalir di sepanjang sungai akibat letusan gunung berapi tertinggi Jawa itu.

Dalam pada itu 22 kematian direkodkan sehingga tengah malam tadi, manakala puluhan orang masih hilang.

Kebanyakan mangsa meninggal dunia ditemui di wilayah Pronojiwo dan Candipuro.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 1:14 PM