KESAN letusan Gunung Semeru. FOTO EPA
KESAN letusan Gunung Semeru. FOTO EPA
Agensi

Jakarta: Seorang warga tua dan cucunya antara yang terselamat daripada menjadi mangsa letusan gunung berapi, Gunung Semeru di Jawa Timur, semalam.

Portal Kompas melaporkan, Sinten, 60, dan cucunya, Dewi Novitasari, 17, adalah penduduk Dusun Curah Kobokan, Desa Supitarung, Pronojiwo, di Lumajang.

Insiden berlaku ketika Sinten sedang berehat di ruang tamu sebelum terdengar bunyi dari gunung dan batu jatuh ke atap rumahnya.

Ia menyebabkannya terkejut serta panik.

Tanpa berlengah, Sinten terus mengetuk pintu bililk Dewi yang sedang tidur dan menarik tangan cucunya untuk menyelamatkan diri.

Mereka berlari sejauh 13 kilometer (km) untuk ke tempat lebih selamat sebelum lava daripada letusan gunung berapi melimpah dan memusnahkan rumah.

"Gunung Semeru meletus dengan cepat. Sebelum ini, tidak ada tanda-tanda ia akan meletus," kata Sinten ketika ditemui di Hospital dr Haryato, Lumajang.

PENDUDUK mengusung barangan dari rumah mereka selepas letusan Gunung Semeru. FOTO EPA
PENDUDUK mengusung barangan dari rumah mereka selepas letusan Gunung Semeru. FOTO EPA

Sebelum berlari, Sinten dan Dewi sempat melihat ke arah Gunung Semeru yang mengeluarkan asap dan abu tebal ke udara.

Suhu udara terasa panas dan tidak lama kemudian, langit berubah gelap, petir serta kilat juga sambar-menyambar.

"Saya tak sempat menyelamatkan harta benda. Saya tak memikirkan itu, yang penting kami selamat. Lima motor hangus dan rumah saya roboh," katanya.

Sinten dan Dewi pada mulanya berlari ke rumah jiran yang jaraknya satu km untuk berlindung.

Selepas langit kembali terang, mereka berlari pula masjid yang jauhnya lima km.

Di sana, mereka berehat seketika sejenak dan berdoa.

"Lalu, kami berjalan lagi hingga ke kampung sebelah, Dusun Gunung Sawur kira-kira tujuh km hingga nafas jadi tercungap-cungap.

"Selama dua jam, kami menyelamatkan diri di rumah penduduk Dusun Gunung Sawur. Kemudian, kami diselamatkan dengan dibawa menaiki kenderaan ke Desa Sumbermujur," kata Dewi.

ANTARA kawasan terjejas akibat letusan Gunung Semeru. FOTO EPA
ANTARA kawasan terjejas akibat letusan Gunung Semeru. FOTO EPA

Terselamat daripada maut bagaimanapun tidak membuatkan Sinten dan Dewi bertenang malah tetap berkecamuk disebabkan apa yang berlaku.

Ia selepas mereka menerima khabar duka yang salah satu ahli keluarganya, Samsul Arifin, 30, menjadi mangsa selepas mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Dr Haryoto, Lumajang.

Gunung Semeru di Indonesia meletus pada Sabtu dan meragut nyawa seorang individu, manakala puluhan mangsa melecur dan ribuan penduduk terpaksa melarikan diri susulan insiden itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 10:34 AM