LAPANGAN Terbang Changi, FOTO AFP
LAPANGAN Terbang Changi, FOTO AFP
Agensi

Singapura: Dua pengembara dari Afrika Selatan yang transit di Singapura, disahkan positif varian Covid-19 Omicron selepas tiba di Sydney.

Channel News Asia melaporkan individu itu tiba di Sydney menerusi pesawat Singapore Airlines SQ211.

Ia berlepas dari Singapura pada 10.30 pagi, Ahad dan mendarat di Sydney pada 9.20 malam hari sama.

Dalam laporan harian Covid-19, Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura melaporkan bahawa pengembara itu berlepas dari Johannesburg pada 27 November menerusi pesawat SQ481 dan tiba di Lapangan Terbang Changi, pada hari sama.

MOH berkata, pengembara itu disahkan negatif Covid-19 ketika menaiki penerbangan di Afrika Selatan pada 26 November.

Mereka juga berada di kawasan transit di Lapangan Terbang Changi sehingga menaiki pesawat ke Sydney, dan tidak memasuki SIngapura atau mana-mana kawasan lain di lapangan terbang itu.

"Satu kontak rapat individu yang disahkan positif di dalam penebangan itu sudah dikuarantin. Pengesanan kontak juga sedang dilakukan membabitkan petugas lapangan terbang yang mempunyai kontak dalam kes berkenaan," kata MOH.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 10:30 AM