Gambar fail menunjukkan anggota keselamatan memantau pergerakan pengembara yang perlu menjalani kuarantn di hotel sekitar Melbourne. - FOTO AFP
Gambar fail menunjukkan anggota keselamatan memantau pergerakan pengembara yang perlu menjalani kuarantn di hotel sekitar Melbourne. - FOTO AFP
AFP

Sydney: Pihak berkuasa kesihatan Australia hari ini mengesan jangkitan pertama varian baharu Covid-19, Omicron pada dua penumpang yang menjalani ujian saringan selepas tiba di Sydney dari selatan Afrika.

Pihak berkuasa kesihatan New South Wales (NSW) berkata pihaknya segera menjalankan ujian genomik dan mengesahkan strain baharu itu terdapat pada dua individu yang mendarat di Sydney semalam.

NSW Health dalam kenyataan menjelaskan, kedua-dua penumpang itu datang dari selatan Afrika dan tiba di Australia menerusi penerbangan Qatar Airways melalui Doha.

Katanya, mereka diuji positif untuk Covid-19 sebaik tiba, yang membawa kepada analisis segera untuk kemungkinan jangkitan oleh strain Omicron yang tinggi tahap mutasinya.

"Dua kes positif itu tiada sebarang gejala dan kini dikuarantin di tempat penginapan kesihatan khas. Kedua-duanya juga sudah menerima lengkap vaksin," kata NSW Health.

Katanya, 12 lagi penumpang dari selatan Afrika yang berada dalam penerbangan sama diuji negatif, namun sudah ditempatkan untuk menjalani kuarantin, sementara kira-kira 260 penumpang dan anak kapal lain sudah diminta untuk mengasingkan diri.

Dalam pada itu, Australia turut mengumumkan penggantungan penerbangan dari sembilan negara termasuk Afrika Selatan dan Zimbabwe.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyenaraikan Omicron sebagai varian membimbangkan dan mungkin mengambil masa beberapa minggu untuk mengetahui sama ada terdapat perubahan ketara kebolehjangkitan, kesan terhadap vaksin, ujian dan rawatannya.

Kehadiran varian baharu itu muncul sebulan selepas Australia menarik balik larangan ke atas rakyatnya untuk melancong ke luar negara, dengan sempadan negara itu dibuka kepada pekerja mahir dan pelajar antarabangsa menjelang akhir tahun.

Selepas lebih 18 bulan sempadannya ditutup, rakyat Australia yang sudah lengkap vaksin tidak lagi perlu mendapatkan pengecualian untuk meninggalkan negara itu.

Pada 20 Mac tahun lalu, Australia memperkenalkan beberapa sekatan sempadan, dianggap paling ketat di dunia sebagai tindak balas melawan pandemik Covid-19.

Selama hampir kira-kira 600 hari, banyak penerbangan antarabangsa dihentikan dan perjalanan ke luar negara disekat.

Arahan kuarantin kepada rakyatnya yang pulang dan sudah melengkapkan vaksin bergantung pada tempat mereka tiba di Australia.

Biarpun Sydney sudah membatalkan arahan kuarantin untuk pengembara dari luar, negeri lain di Australia yang kadar vaksinasi lebih rendah masih diwajibkan menjalani kuarantin 14 hari di hotel.

Dalam keadaan terkini, masih tidak jelas sama ada ketibaan varian baharu itu akan membawa kepada kembalinya peraturan yang lebih ketat.

Terdahulu, Ketua Menteri NSW, Dominic Perrottet, kelihatan berbelah bahagi untuk melakukan sebarang tindakan sekatan baharu.

"Kita perlu belajar untuk hidup bersama virus dan hidup bersama pelbagai jenis virus yang akan datang kepada kita.

"Perkara terbaik yang boleh kita lakukan ialah mendapatkan vaksin dan suntikan penggalak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 7:12 PM