FOTO HIASAN AFP
FOTO HIASAN AFP
BERNAMA

Jakarta: Kerajaan Indonesia memutuskan untuk mengurangkan tempoh kuarantin wajib bagi pelawat antarabangsa sama ada warganegara Indonesia atau warga asing, dari lima ke tiga hari.

Menteri Koordinator Perhubungan Ekonomi, Airlangga Hartarto berkata, peraturan terbaru itu terpakai untuk mereka yang sudah menerima vaksin lengkap dan disahkan negatif melalui ujian PCR sebelum berlepas dari negara masing-masing.

"Ujian negatif juga perlu dibuktikan ketika tiba di Indonesia dan pada hari terakhir tempoh kuarantin di sini," kata Hartarto.

Sementara itu, bagi pelawat domestik, mereka yang sudah menerima vaksin lengkap hanya perlu menunjukkan keputusan ujian antigen negatif, manakala mereka yang hanya menerima satu dos perlu menunjukkan ujian PCR negatif.

Hartarto berkata, pandemik Covid-19 di Indonesia ketika ini berada dalam kawalan berikutan angka kes baru semakin berkurangan.

Setakat ini, pelawat dari 19 negara termasuk China, Perancis, New Zealand dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dibenarkan berkunjung ke Bali.

Kebanyakan negara Asia Tenggara sedang berusaha merancakkan aktiviti ekonomi namun dalam masa sama menjangkakan kemungkinan berlakunya gelombang baru, yang mungkin berlaku pada cuti panjang hujung tahun ini sempena Krismas dan Tahun Baru.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 7:19 PM