Kakitangan syarikat penerbangan mengendalikan latihan untuk protokol daftar masuk pelancong sebagai persediaan pembukaan sempadan antarabangsa Thailand. - FOTO EPA
Kakitangan syarikat penerbangan mengendalikan latihan untuk protokol daftar masuk pelancong sebagai persediaan pembukaan sempadan antarabangsa Thailand. - FOTO EPA
Agensi

Bangkok: Kerajaan Thailand mengeluarkan garis panduan untuk kemasukan tanpa kuarantin bermula 1 November nanti untuk ketibaan pelawat dari 46 negara, termasuk Malaysia.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19, Dr Apisamai Srirangson berkata, pelawat perlulah lengkap divaksinasi dan berada di negara asal sekurang-kurangnya dalam tempoh 21 hari sebelum berlepas.

"Pelawat perlu menunjukkan bukti ujian RT-PCR negatif tidak lebih 72 jam sebelum berlepas.

"Mereka juga perlu memiliki insurans kesihatan am dengan perlindungan sekurang-kurangnya AS$50,000 (RM207,500)," katanya seperti dilaporkan Bangkok Post.

Sejurus tiba, pelawat perlu menjalani satu lagi ujian RT-PCR dan boleh meneruskan perjalanan sekiranya keputusan negatif.

"Sementara menunggu keputusan, mereka perlu menginap satu malam di hotel yang ditetapkan.

"Selain itu, mereka juga perlu memuat turun aplikasi untuk mengesan pergerakan mereka ketika berada di Thailand," katanya.

Peraturan tanpa kuarantin ini terpakai untuk pelawat yang tiba melalui penerbangan di Suvarnabhumi, Don Mueang, Chiang Mai, Phuket, Samui, U-Tapao dan Buri Ram.

Untuk ketibaan lain, mereka perlu berada di bawah program 'sandbox' seperti di Phuket, Koh Samui, Koh Phangnga dan Krabi.

Bagi pelawat yang menerima dos kedua kurang dari tempoh 14 hari sebelum penerbangan mereka perlu menjalani kuarantin di lokasi yang ditetapkan, termasuk hospital yang merawat pesakit asing di Thailand.

Mereka perlu menjalani ujian sejurus tiba dan diuji sekali lagi sebelum tempoh kuarantin berakhir.

Dr Apisamai berkata, peraturan berkenaan mungkin berubah mengikut keadaan, bergantung kepada situasi semasa Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 7:46 PM