PATUNG lilin Tom Cruise.
PATUNG lilin Tom Cruise.
Agensi

Dubai: Muzium lilin London yang terkenal, Madame Tussauds Dubai dibuka di sini minggu ini dan ia dijangka menjadi tarikan jutaan pelancong yang berkunjung ke Ekspo 2020 Dubai.

Jenama bermula di London dengan 250 patung lilin ini menarik berjuta-juta pengunjung setiap tahun dan mempunyai cawangan lebih kecil di Amerika Syarikat, Eropah dan Asia, lapor AFP.

Pengurus Besar Madame Tussauds Dubai, Sanaz Kollrud berkata, muzium itu dibuka pada 14 Oktober lalu.

"Kami berharap ramai pengunjung tempatan dan luar negara akan datang ke sini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah memilih individu popular dan relevan di rantau ini untuk diabadikan sebagai patung lilin di muzim berkenaan.

Cawangan muzium itu di Dubai mempamerkan 60 patung lilin bintang terkenal dunia termasuk pemain bola sepak, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo serta penyanyi pop, Rihanna.

Selain itu, ia mempamerkan patung lilin 15 bintang dari rantau itu seperti penyanyi Lubnan, Nancy Ajram dan Maya Diab.

Dengan rizab minyak terhad, pemerintah Dubai lebih menumpukan kepada pembangunan sektor pelancongan dan hiburan.

Ketika ini, Dubai menjadi tuan rumah Ekspo 2020.

Acara dilancarkan pada 1 Oktober lalu selepas setahun ditangguhkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 6:31 PM