Kakitangan kesihatan mengambil sampel dari ujian calitan di Medan, Indonesia. - FOTO EPA
Kakitangan kesihatan mengambil sampel dari ujian calitan di Medan, Indonesia. - FOTO EPA
Agensi

Jakarta: Jurucakap Pasukan Petugas Menangani Covid-19, Wiku Adisasmito berkata, kerajaan meletakkan sasaran untuk mencapai sifar kematian akibat Covid-19.

Katanya, sasaran itu sangat penting agar penduduk Indonesia dapat meneruskan kehidupan dalam norma baharu.

Malah, sejak kebelakangan ini, angka kematian akibat Covid-19 juga terus menurun.

"Jumlah kematian (akibat Covid-19) terus mengalami penurunan. Ini adalah sangat penting untuk melihat angka kematian dan bukan peratusan kes baru.

"Kita letakkan sasaran untuk capai sifar kematian," katanya dalam sidang media secara maya.

Menurutnya, ketika ini, terdapat lima wilayah yang mencatatkan lonjakan kes kematian akibat Covid-19.

Ia adalah Jawa Tengah, Jawa Timur, Aceh, Papua dan Bali.

Sementara itu, menurutnya, mengenai jumlah kes aktif, dalam seminggu terakhir ini, kes aktif nasional berada di bawah 1.0 peratus iaitu 0.86 peratus.

Katanya, ini adalah kali pertama Indonesia mencatatkan kes aktif di bawah 1.0 peratus.

Dalam tempoh 24 jam, Indonesia mencatatkan 1,393 kes baru menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 4.22 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 8:08 PM