FOTO HIASAN AFP
FOTO HIASAN AFP
Agensi

Singapura: Singapura sedang mempertingkatkan sumber untuk bersiap siaga bagi kemungkinan kes baru Covid-19 mencecah lebih 5,000 sehari, yang mana sekitar 10 peratus atau 500 orang mungkin perlu dimasukkan ke hospital sekurang-kurangnya selama seminggu.

Menteri Kewangan, Lawrence Wong berkata, kerajaan juga bersedia menangani satu senario di mana jumlah kes melonjak sehingga 5,000 sehari atau lebih dari itu.

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara bersama Bloomberg Television ketika ditanya mengenai apa yang perlu dilakukan supaya pembukaan semula ekonomi Singapura dapat diteruskan.

Wong berkata, walaupun 0.2 peratus daripada kes positif Covid-19 memerlukan rawatan dalam unit rawatan rapi (ICU), sekitar 50 kali ganda jumlah pesakit memerlukan pemantauan rapi di hospital kerana mereka mungkin lebih berusia, mempunyai simptom serius atau mempunyai banyak penyakit lain.

"Bagi menyediakan penjagaan segera kepada pesakit yang memerlukan rawatan ICU, sekitar 10 peratus individu yang terkena jangkitan perlu dimasukkan ke hospital kerana mereka perlu diasingkan dan dikenal pasti oleh doktor sebagai individu lebih mudah terjejas," katanya seperti dilaporkan Berita Mediacorp.

Pada Ahad, Singapura melaporkan 1,939 kes baru Covid-19, iaitu jumlah tertinggi setakat ini.

Katanya, jika kes harian di Singapura mencecah 5,000, ini bermakna 500 pesakit perlu dimasukkan ke hospital untuk sekurang-kurangnya seminggu.

"Ini bermakna, lebih banyak katil diperlukan dan ini yang sedang kita cuba lakukan untuk menyokong sistem hospital dengan menyediakan pusat perubatan, kemudahan perubatan. Ia bukan setakat peralatan, kakitangan perubatan juga perlu menangani jumlah kes lebih tinggi," katanya.

Menurutnya, sebaik sahaja protokol jagaan kesihatan menjadi stabil, Singapura boleh meneruskan rancangan pembukaan semula ekonominya, yang mana ia termasuk perjalanan ke luar negara dan pelonggaran sekatan dalam negeri.

"Jumlah kes akan tetap tinggi dan virus akan terus merebak walaupun selepas kita mencapai tahap sedemikian.

"Ini yang dimaksudkan dengan meneruskan kehidupan bersama Covid-19 dan kita sedang mengorak langkah ke arah itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 7:09 PM