Kanak-kanak mengutip kayu api sambil dikawal pasukan pejuang pro-Rabbani di Jadayi Maiwand Boulevard. FOTO AFP
Kanak-kanak mengutip kayu api sambil dikawal pasukan pejuang pro-Rabbani di Jadayi Maiwand Boulevard. FOTO AFP
AFP

Washington: Pimpinan tertinggi tentera Amerika Syarikat (AS) mengakui kesilapan mereka ketika melancarkan serangan dron di Kabul, Afghanistan yang mengorbankan 10 orang awam termasuk kanak-kanak.

Komander tentera AS, Jeneral Kenneth McKenzie berkata, serangan dilancarkan pada bulan lalu itu satu kesilapan.

Menurutnya, serangan berkenaan mensasarkan pengganas Daesh selepas pihak perisikan menerima maklumat kumpulan terbabit mahu melancarkan serangan di lapangan terbang Kabul, pada 29 Ogos lalu.

"Serangan itu satu kesilapan yang tragik," kata McKenzie kepada pemberita selepas siasatan berakhir sambil menambah kerajaan mengkaji pampasan setimpal yang patut dihulurkan kepada keluarga mangsa terbunuh.

Untuk rekod, tujuh kanak-kanak antara 10 yang terkorban dalam serangan itu dan McKenzie mengesahkan tiada seorang pun mangsa mempunyai kaitan dengan Daesh.

McKenzie bagaimanapun mempertahankan serangan dron itu berikutan beberapa hari sebelum itu, lapangan terbang Kabul diserang ketika AS sibuk membawa keluar tentera dan warganya dari Afghanistan.

Katanya, tiada orang awam dikesan berada di lokasi kejadian ketika serangan itu diluluskan untuk dilancarkan.

Menurutnya, sebelum serangan itu, tentera mengesan sebuah kenderaan berwarna putih selama lapan jam di Kabul yang perisikan mengesyaki ia operasi pengganas Daesh dan dipercayai hendak melancarkan serangan di lapangan terbang Kabul.

"Kami mensasarkan kenderaan ini berdasarkan pergerakannya di sasaran dikenal pasti dan menarik perhatian kami. Jelas sekali, perisikan kami silap," katanya.

Pada 26 Ogos lalu, pengganas Daesh melancarkan serangan bom nekad di lapangan terbang, menyebabkan 13 tentera AS maut.

Sementara itu, Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin turut memohon maaf terhadap keluarga mangsa yang terkorban dalam serangan berkenaan.

"Saya mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka yang terbunuh. Kami memohon maaf dan amat menyesal dengan kesilapan mengerikan ini," katanya dalam kenyataan.

Austin turut mengesahkan lelaki Afghanistan yang terkorban dalam serangan itu, Ezmarai Ahmadi, tiada kaitan dengan Daesh sebaliknya adalah petugas kumpulan bantuan AS.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 9:52 AM