ROZY dipromosikan menerusi gambar dan video di media sosial. FOTO IG
ROZY dipromosikan menerusi gambar dan video di media sosial. FOTO IG
Agensi

Seoul: Industri hiburan Korea Selatan khususnya dalam bidang pengiklanan diramalkan akan dikuasai oleh pempengaruh (influencer) maya.

Pempengaruh ini bukannya individu sebenar, sebaliknya watak ciptaan manusia.

Kelebihan menggunakan pempengaruh maya adalah ia tidak terikat jadual ketat seperti penyanyi dan pelakon popular.

Selain itu, ia bersih daripada terpalit kontroversi dan skandal di samping selama-lamanya kekal muda.

Bussiness Insider melaporkan seorang pempengaruh maya terkenal di Korea Selatan pada masa ini adalah Rozy.

'Gadis' ini menerima lebih daripada 100 tajaan.

Rozy dijangka 'memperoleh' pendapatan lebih daripada 1 bilion won (kira-kira RM3.56 juta) tahun ini.

Watak model ciptaan ini diperkenalkan Sidus Studio X, Ogos tahun lalu.

Ia dikatakan berusia 22 tahun dan mengumpul hampir 80,000 pengikut di Instagram (IG).

Rozy pada mulanya ditampilkan sebagai model dan pempengaruh media sosial, sejak Disember tahun lalu.

Watak ini mula popular selepas ditampilkan menerusi satu iklan.

Ketua Pegawai Eksekutif Sidus Studio X, Baek Seung-yeop ketika ditemu bual Radio CBS berkata, Rozy sudah 'menjayakan' dua iklan bulan ini.

"Rozy bakal 'menandatangani' lapan kontrak eksklusif," katanya.

Baek Seung-yeop menambah bahawa syarikat itu sudah mencapai keuntungan disasarkan melalui Rozy.

Sasaran syarikat untuk tahun ini adalah meraih pulangan lebih 1 bilion won daripada 'bintang muda' itu

Buat masa ini, Rozy dipromosikan menerusi gambar dan video di media sosial.

Bagaimanapun, syarikat pengurusan mempunyai beberapa rancangan besar untuk Rozy.

Antaranya adalah mendapatkan peluang untuk Rozy 'membintangi' filem, drama dan rancangan hiburan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 6:31 AM