GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Agensi

Beijing: Setiap ibu bapa sanggup melakukan apa sahaja bagi membantu anak mereka mencapai kejayaan dalam hidup.

India Times melaporkan segelintir ibu bapa di China dikatakan sanggup menyuntik anak dengan darah ayam.

Ia kerana mereka percaya langkah itu mampu menjadikan anak mereka lebih genius dan aktif.

Menurut satu laporan, amalan itu bukanlah perkara baharu dalam masyarakat di China.

Rawatan yang tidak terbukti keberkesanannya itu dikatakan sangat berguna pada tahun 1950-an kerana darah ayam segar dipercayai akan merangsang tenaga.

Jadi, masyarakat menggunakannya sebagai penyelesaian untuk pelbagai penyakit seperti barah, kemandulan dan kebotakan.

Bagaimanapun, amalan yang sudah jarang diamalkan itu dipercayai kembali diguna pakai oleh segelintir ibu bapa golongan kelas pertengahan.

Kumpulan ibu bapa ini percaya suntikan darah ayam dapat menjadikan anak mereka aktif.

Ia seterusnya dipercayai dapat menjadikan prestasi anak lebih baik dalam akademik dan sukan, menurut laporan yang diterbitkan di supchina.com.

"Ibu bapa Cina kelas pertengahan yang obses ini melakukan apa saja untuk anak mereka. Mereka sanggup membelanjakan dari satu perempat hingga separuh gaji untuk anak-anak.

"Ada juga yang membeli rumah berhampiran sekolah untuk mengurangkan masa perjalanan anak ke sekolah di samping memberi anak mereka dengan suntikan darah ayam," katanya

Ibu bapa yang mempraktikkan amalan ini percaya bahawa anak mereka perlu lebih cemerlang daripada kanak-kanak lain.

Justeru, ibu bapa itu melakukan segala yang diperlukan termasuk menempatkan anak mereka di sekolah terbaik.

Sementara itu, laporan sama mendedahkan sikap ibu bapa yang terlampau obses dengan kejayaan anak ini menyebabkan peningkatan ketara dalam kes kemurungan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 6:31 AM