PENJARA Gilboa. FOTO EPA s
PENJARA Gilboa. FOTO EPA s
AFP

Baitulmaqdis: Selain bendera dan sepanduk, sudu turut menjadi simbolik demonstrasi perjuangan rakyat Palestin selepas ada tahanan berjaya meloloskan diri daripada penjara Israel dengan perkakas itu.

Ketika enam tahanan Palestin melarikan diri melalui terowong pada 6 September dari Penjara Gilboa dengan keselamatan tinggi, rangkaian sosial memuat naik gambar terowong di kaki singki dan lubang yang digali di luar dengan tanda pagar 'sudu ajaib'.

Persoalan sama ada perkakas itu digunakan untuk meloloskan diri atau sebaliknya masih tidak jelas.

Rabu lalu, peguam bela salah seorang tahanan yang telah ditangkap semula memberitahu AFP anak guamnya, Mahmud Abdullah Ardah mengakui menggunakan sudu, piring dan juga pemegang cerek untuk menggali terowong dari sel tahanan.

Mahmud adalah salah seorang daripada empat tahanan Palestin yang ditangkap semula.

Keenam-enam mereka dituduh merancang atau melakukan serangan terhadap warga Israel.

Ketika ini, rejim ziois masih memburu dua lagi tahanan yang masih bebas.

Israel telah memulakan inkuiri bagi menyiasat insiden memalukan itu, yang dilihat oleh rakyat Palestin sebagai 'kemenangan'.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 5:43 PM