GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Singapura: Seorang wanita yang disahkan mengalami jangkitan pernafasan akut mengaku tidak menghadiri sesi janji temu ujian saringan Covid-19.

Sebaliknya, dia pergi membeli-belah dan bertemu dengan teman lelakinya di kediaman kekasihnya walaupun sedang cuti sakit.

Channel News Asia (CNA) melaporkan, Janani Kalaychelvam, 24, mengaku bersalah atas satu tuduhan melanggar peraturan Covid-19.

Mahkamah diberitahu bahawa Janani pergi ke Klinik Keluarga OneDoctors di Yishun Ring Road, pada petang 30 Januari lalu.

Ia selepas wanita itu mengadu sakit tekak, batuk dan sesak nafas selama beberapa hari.

Oleh kerana klinik itu sudah berhenti mengambil sampel calitan, Janani diminta datang semula keesokan harinya iaitu pagi 1 Februari untuk menjalani ujian saringan Covid-19.

Menurut dokumen mahkamah, doktor menjelaskan bahawa beliau biasanya akan memberikan cuti sakit kepada pesakit yang melakukan ujian saringan di klinik.

Doktor ada memberitahu Janani yang dia tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh cuti sakit kecuali untuk mendapatkan rawatan atau pergi ke klinik.

Biarpun akur dengan syarat itu, Janani tetap menaiki teksi ke rumah rakan untuk makan malam di sana dan dia dilaporkan berada di situ sehingga sekitar 3.50 pagi, menurut dokumen mahkamah.

Pada 1 Februari, Janani tidak menghadiri sesi ujian saringan dijadualkan dan keluar rumah selama lebih lima jam.

Dia sebaliknya pergi membeli-belah di Northpoint City pada 7.50 malam sebelum menaiki teksi ke rumah teman lelakinya.

Teman lelaki dan ibunya berada di rumah ketika itu dan Janani berada di sana sehingga kira-kira 1 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 4:38 PM