FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Bangkok: Kedutaan China di Thailand menyifatkan kritikan terhadap vaksin Sinovac yang dihasilkan China seolah-olah memperlekeh usaha Beijing untuk membantu Thailand memerangi pandemik.

Dalam kenyataan di Facebook, kedutaan berkata, setiap dos vaksin Covid-19 yang disalurkan China kepada Thailand mewakili hubungan persahabatan China-Thailand.

Ia berkata, pengguna Sinovac diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan turut diluluskan Pentadbiran Ubat dan Makanan (FDA) Thailand berdasarkan keputusan ujian klinikal.

"Ketika ini, pengeluar vaksin Sinovac sedang mengkaji varian baru Covid-19 dan menjalankan ujian keberkesanan vaksin itu terhadap mutasi varian.

"Ia mendapati vaksin berkenaan masih berupaya melindungi individu daripada strain baru ini," katanya.

Kedutaan China juga menggesa supaya perbuatan merendah-rendahkan dan menyebarkan maklumat kurang tepat berkaitan Sinovac dihentikan segera.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar, Don Pramudwinai meluahkan kebimbangan terhadap kenyataan pembangkang yang memetik maklumat palsu bagi 'memesongkan' keyakinan orang awam terhadap Sinovac.

Katanya, sehingga kini 39 negara di seluruh dunia menggunakan Sinovac.

Sementara itu, Thailand merekodkan penurunan kes aktif jangkitan Covid-19 setiap hari sejak tiga minggu lalu.

Dalam tempoh 24 jam, ia mencatatkan 15,452 kes baru dengan 224 kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 7:22 PM