FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Agensi

Jakarta: Indonesia akan menawarkan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 berbayar mulai tahun depan.

Menteri Kesihatan, Budi Gunadi Sadikin berkata, negara itu sedang merancang untuk melaksanakan vaksinasi penggalak Covid-19 berbayar untuk orang awam pada awal tahun depan selepas program dos kedua selesai.

"Kerajaan sedang merancang pelaksanaan suntikan ketiga vaksin Covid-19 atau vaksinasi penggalak pada Januari 2022 apabila program inokulasi kebangsaan selesai," katanya.

Menurutnya, orang ramai dijangka perlu membayar antara 100,000 rupiah (RM29) dan 150,000 rupiah (RM44) bagi setiap dos dan kerajaan akan menawarkan semua jenama vaksin bagi membolehkan mereka membuat pilihan.

Ketika ini, hanya pekerja kesihatan saja yang diberi keutamaan untuk menerima dos penggalak.

Data terbaru Persatuan Perubatan Indonesia (IDI) menunjukkan, daripada 1.4 juta pekerja kesihatan di Indonesia, 36 peratus sudah menerima suntikan dos penggalak.

Menteri Kewangan, Sri Mulyani Indrawati berkata, vaksin percuma masih tersedia kerana peruntukan sudah pun disediakan kerajaan.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 34.85 juta penduduk di negara itu sudah menerima dua dos vaksin manakala 61.65 juta orang sudah menerima dos pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 6:30 AM