ORANG ramai memakai pelitup muka ketika menyeberangi jalan di Seoul. FOTO AFP
ORANG ramai memakai pelitup muka ketika menyeberangi jalan di Seoul. FOTO AFP
BERNAMA

Seoul: Korea Selatan mengesahkan 2,899 lagi kes berpunca daripada empat varian utama Covid-19 sejak seminggu yang lalu.

Pihak berkuasa kesihatan pada hari ini memberitahu, angka itu termasuk 2,874 kes varian Delta yang sangat mudah berjangkit.

Badan Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) melaporkan, jumlah jangkitan semua varian itu adalah 13,454 kes.

Data yang ada menunjukkan varian Delta menjadi varian dominan di Korea Selatan sekali gus menambah kesukaran pihak kesihatan untuk mengekang penyebaran varian berkenaan, lapor agensi berita Yonhap.

Varian Delta, sejak kebelakangan ini, menjadi punca lonjakan jangkitan di Seoul dan kawasan sekitarnya, malah menunjukkan tanda penyebaran lebih cepat ke seluruh negara.

Pihak berkuasa kesihatan memaklumkan negara akan menyaksikan lebih banyak kes varian berkenaan.

Pada Selasa, Korea Selatan mencatatkan pertambahan 1,509 kes Covid-19, termasuk 1,470 jangkitan tempatan

Ia meningkatkan jumlah kes menjadi 239,287, lapor KDCA.

Dalam usaha menyekat kemasukan varian baharu yang muncul dari India, pelawat dikehendaki menjalani kuarantin wajib di pusat diwartakan selama tujuh hari sebelum dibenarkan menjalani kuarantin kendiri, bergantung kepada hasil ujian saringan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 4:25 PM