Polis menggunakan penyembur lada untuk menyuraikan peserta protes di Melbourne. - FPTO AFP
Polis menggunakan penyembur lada untuk menyuraikan peserta protes di Melbourne. - FPTO AFP
AFP

Sydney: Ratusan individu ditahan dalam pertembungan antara peserta protes anti sekatan pergerakan dan polis Australia di dua bandar di sini selepas negara berkenaan merekodkan peningkatan ketara angka harian jangkitan Covid-19.

New South Wales melaporkan 825 kes jangkitan - rekod tertinggi pernah dicatatkan, sehari selepas pihak berkuasa mengumumkan lanjutan tempoh sekatan sehingga September ini bagi mengekang penularan varian Delta.

"Walau bagaimana kami bekerja kuat, atau 99 peratus orang melakukan perkara yang betul, elemen Deta tetap ada dalam komuniti yang tiada sesiapa boleh kawal.

"Perkara terbaik adalah pastikan semua orang mendapatkan vaksin," kata pemimpin NSW, Gladys Berejiklian kepada media.

Peserta protes berarak di sekitar Melbourne. - FOTO AFP
Peserta protes berarak di sekitar Melbourne. - FOTO AFP

Peningkatan jumlah jangkitan di Victoria, Melbourne juga menyebabkan arahan duduk di rumah dilanjutkan.

Namun, arahan itu tidak menghalang ribuan individu menyertai perarakan menentang peraturan sekatan pergerakan di mana polis terpaksa menggunakan penyembur lada dalam pergelutan dengan peserta protes.

Seramai tujuh pegawai cedera dan lebih 200 individu ditahan dalam protes yang disifatkan 'ganas dan tidak mengikut peraturan', kata Polis Victoria dalam kenyataan.

"Walaupun ada segelintir peserta yang berkelakuan baik, namun sebahagian besar menyertai perarakan ini dengan hasrat untuk mengakhirinya secara ganas," katanya.

Kanak-kanak turut dibawa menyertai protes di Melbourne. - FOTO AFP
Kanak-kanak turut dibawa menyertai protes di Melbourne. - FOTO AFP

Di Sydney, lebih 1,500 anggota polis ditempatkan di sekitar bandar ini, membuat sekatan jalan raya dan melakukan beberapa penahanan di mana terdapat 250 individu berhimpun.

Perhimpunan besar-besaran juga dilaporkan berlangsung di Brisbane.

Penduduk Sydney diletakkan di bawah sekatan pergerakan pada akhir Jun lalu menjejaskan 15 juta individu.

Satu pertiga penduduk Australia sudah menerima dua dos vaksin, di saat varian Delta muncul mengancam untuk memusnahkan hasrat negara berkenaan mencapai 'sifar Covid'.

Australia mencatatkan lebih 42,000 kes dalam populasi 25 juta sejak pandemik ini bermula dengan 974 kematian dilaporkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 6:05 PM