FOTO menunjukkan kanak-kanak Afghanistan tidur dalam pesawat kargo AS ketika proses evakuasi dari Kabul. FOTO AFP s
FOTO menunjukkan kanak-kanak Afghanistan tidur dalam pesawat kargo AS ketika proses evakuasi dari Kabul. FOTO AFP s
Agensi

Kabul: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden semalam memberitahu AS bertekad membawa keluar semua rakyatnya dari Afghanistan.

The New York Times melaporkan, tindakan itu akan dilakukan walaupun ia memberi isyarat lanjutan misi ketenteraan melebihi tarikh akhir pada 31 Ogos untuk pengunduran tenteranya secara keseluruhan.

"Sekiranya ada warga negara AS yang masih ada di sana, kami akan terus mengeluarkan saki-baki mereka," kata Biden dalam satu temu bual di ABC News bersama George Stephanopoulos.

Sejak Kabul ditawan Taliban pada Ahad, ribuan warga AS dan Afghanistan bergerak menuju ke lapangan terbang, mencari penerbangan ke luar negara.

Dalam pada itu, AFP melaporkan AS sebelum ini tetap berpegang kepada 31 Ogos sebagai tarikh akhir untuk mengundurkan semua tenteranya dari Afghanistan.

Bagaimanapun, Biden pertama kali menegaskan bahawa tentera AS mungkin ada berada di situ untuk tempoh lebih lama untuk mengeluarkan semua rakyatnya.

Namun, beliau tidak memperincikan lanjutan tempoh masa berkenaan.

Taliban tidak campur tangan terhadap usaha tentera AS yang melakukan proses evakuasi di lapangan terbang di sini.

Bagaimanapun, kumpulan itu menguasai seluruh kawasan lain di ibu negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 11:01 AM