HAMID Karzai . FOTO AFP
HAMID Karzai . FOTO AFP
Agensi

Kabul: Seorang komander kanan Taliban bertemu dengan bekas Presiden Afghanistan, Hamid Karzai semalam untuk satu perbincangan.

The Guardian melaporkan, pertemuan berlaku ketika Taliban berusaha menubuhkan kerajaan di Afghanistan.

Hamid yang menyandang jawatan Presiden bermula Disember 2001 hingga September 2014 sudah memimpin usaha untuk memastikan ada pertukaran kuasa secara aman selepas Kabul ditawan Taliban, pada Ahad.

Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani, melarikan diri, sementara Taliban menyatakan mereka sebagai penguasa Afghanistan yang menang.

Keberadaan Ghani menimbulkan spekulasi, tetapi satu kenyataan oleh Kementerian Luar Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengesahkan pemimpin itu dan keluarganya diterima masuk ke UAE "atas alasan kemanusiaan".

Lewat Rabu, bekas presiden itu memberitahu harapannya untuk pulang ke kediaman dan menyatakan sokongan untuk perbincangan antara Taliban dan bekas pegawai

tinggi. "Buat masa ini, saya berada di UAE sehingga pertumpahan darah dan kekacauan dihentikan," katanya menerusi pesanan dalam sebuah video iaitu penampilan pertamanya sejak meninggalkan ibu kota pada Ahad.

Ghani turut memberitahu beliau tidak berniat untuk kekal di UAE.

"Saya sedang dalam perbincangan untuk kembali ke Afghanistan," katanya.

Tindakan Ghani menyebabkan majoriti warga Afghanistan menganggapnya pengkhianat negara.

Kedutaan Afghanistan di Tajikistan meminta supaya surat perintah penangkapan Polis Antarabangsa (Interpol) dikeluarkan untuknya dengan alasan 'pencurian harta'.

Ditanya reaksi AS terhadap penerbangan Ghani ke UAE, wakil setiausaha negara, Wendy Sherman memberi kenyataan ringkas tetapi pedas.

"Dia bukan lagi tokoh di Afghanistan," katanya.

Pada Ahad, Ghani terpaksa meninggalkan negara itu selepas Kabul ditawan Taliban.

Taliban mengambil alih kuasa di Afghanistan buat pertama kali selepas hampir 20 tahun berikutan pengunduran tentera Amerika Syarikat dari negara itu.

Menurut laporan media, banyak negara memutuskan untuk membawa pulang diplomat dan warga masing-masing dari Afghanistan serta menutup kedutaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 10:34 AM