ASHRAF Ghani. FOTO AFP
ASHRAF Ghani. FOTO AFP
AFP

Abu Dhabi: Bekas Presiden Afghanistan Ashraf Ghani pada Rabu berkata, beliau menyokong rundingan antara Taliban dan bekas pemimpin kerajaan, di samping menafikan membawa keluar sejumlah wang yang besar ketika melarikan diri ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Ghani - yang membuat kemunculan pertama sejak meninggalkan Kabul pada Ahad ketika Taliban mengepung ibu negara berkenaan - menegaskan bahawa beliau meninggalkan negara itu untuk mengelak lebih banyak pertumpahan darah.

Menerusi mesej rakaman video yang disiarkan di Facebooknya, Ghani berkata, beliau tidak mempunyai hasrat untuk kekal di negara Teluk berkenaan dan sudah mengadakan 'perbincangan' untuk pulang ke tanah air.

Beliau juga berkata melakukan usaha untuk 'melindungi pemerintahan rakyat Afghanistan di seluruh negara', tanpa memberikan butiran terperinci mengenainya.

"Pada masa ini, saya berada di UAE supaya pertempuran darah dan huru-hara dapat dihentikan," kata Ghani.

UAE mengesahkan bekas presiden Afghanistan itu diterima untuk berada di negara itu atas 'alasan kemanusiaan'.

Beliau menyuarakan sokongan untuk perbincangan pada Rabu antara pemimpin kanan Taliban, bekas presiden Hamid Karzai, dan Abdullah Abdullah yang mengetuai rundingan damai yang sebelum ini gagal.

"Saya mahu proses ini berjaya," katanya.

Abdullah - seteru lama Ghani - yang mengumumkan bahawa presiden sudah meninggalkan negara pada Ahad.

Namun, Ghani menegaskan bahawa tindakannya untuk kebaikan kepada negara dan bukannya kerana kepentingan peribadi.

"Jangan percaya sesiapa sahaja yang berkata, presiden kamu meninggalkan kami dan melarikan diri untuk dirinya dan menyelamatkan nyawanya sendiri," katanya.

Beliau menafikan dakwaan itu yang disifatkannya tidak berasas.

"Saya keluar dari Afghanistan sehingga tidak sempat menukar daripada selipar kepada but," katanya yang menyatakan beliau tiba di UAE tanpa membawa apa-apa.

Beliau berkata, Taliban memasuki Kabul meskipun menurut perjanjian sebelumnya, kumpulan itu tidak boleh berbuat demikian.

"Jika saya kekal di situ, presiden yang dipilih oleh rakyat Afghanistan akan digantung di depan rakyat," katanya.

Kali pertama Taliban menguasai Kabul, apabila kumpulan itu menubuhkan rejimnya pada 1996, ia mengheret presiden ketika itu Mohammed Najibullah dari pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di mana pemimpin itu berlindung sebelum menggantung lelaki itu di jalanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 10:19 AM