PENDUDUK berkunjung ke pusat saringan Covid-19 ketika sekatan pergerakan dilaksanakan di Wellington, hari ini. FOTO AFP
PENDUDUK berkunjung ke pusat saringan Covid-19 ketika sekatan pergerakan dilaksanakan di Wellington, hari ini. FOTO AFP
AFP

Wellington: Penularan Covid-19 di New Zealand yang membawa kepada perintah sekatan di negara itu disahkan berpunca akibat varian Delta dengan empat lagi kes baharu dilaporkan, kata Perdana Menteri Jacinda Ardern.

Beliau berkata, keputusannya mengeluarkan arahan untuk tinggal di rumah semalam, bertepatan susulan penularan pandemik itu selepas kes awal dikenal pasti.

"Ini menunjukkan, pada tahap ini, tahap empat (perintah kawalan pergerakan ketat) adalah tepat," kata Ardern kepada TVNZ.

Kes pertama dikesan membabitkan seorang lelaki berusia 58 tahun di Auckland, ia sekali gus mengakhiri tempoh enam bulan tanpa penularan dalam komuniti di New Zealand dengan hanya merekodkan 26 kematian akibat Covid-19 sejak bermulanya pandemik itu.

Ardern berkata, salah satu kes baharu membabitkan seorang jururawat di Hospital Auckland yang memaksa hospital itu ditutup, sementara semua staf dan pesakit menjalani saringan.

Mengikut rancangan awal, New Zealand melaksanakan perintah kawalan pergerakan selama tiga hari, manakala sekatan di Auckland dan kawasan Coromandel yang berdekatan berlangsung selama seminggu.

Beliau berkata, strategi negara adalah untuk menghapuskan virus berkenaan dan bukan hanya membendung penularannya.

Katanya, strategi dilihat berkesan sepanjang krisis dan yakin mampu melawan varian Delta yang sangat mudah menular.

"Ya, Delta menimbulkan ancaman lebih besar, tetapi langkah sama kita pernah gunakan sebelum ini akan berhasil sekali lagi jika kita mengikut peraturan," katanya.

Beliau berkata, ujian yang dilakukan ke atas sisa air di Auckland tidak mengesan tanda kewujudan virus itu.

"Ini menunjukkan varian ini akan menyebabkan wabak bertahan lama kerana ia tiada dalam ujian air sisa kita," katanya.

Pegawai berkata, penularan wabak terbaru ini tidak mempunyai kaitan jelas dengan rentas sempadan, dan siasatan untuk menentukan asal usulnya sedang dijalankan.


Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 1:07 PM