New York: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Taliban mengutamakan perlindungan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan selepas menguasai Afghanistan.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, mendesak Taliban dan semua pihak berkenaan supaya mengutamakan kesabaran dan kawal perasaan bagi melindungi nyawa dan memastikan keperluan bantuan kemanusiaan ditangani.

Dalam satu kenyataan, beliau menyuarakan kebimbangan utamanya terhadap masa depan wanita dan kanak-kanak serta menekankan bahawa hak mereka yang diperjuangkan selama ini perlu dipertahankan.

Majlis Keselamatan PBB (UNSC) akan bermesyuarat semalam berhubung perkembangan terkini di Afghanistan pada jam 10 pagi di New York.

Guterres akan melaporkan mengenai keadaan terkini di negara itu pada mesyuarat berkenaan, yang diminta diadakan oleh Estonia dan Norway, dua anggota tidak tetap UNSC.

MUKA hadapan akbar di Afghanistan.
MUKA hadapan akbar di Afghanistan.

Beliau memaklumkan, sekurang-kurangnya 1,000 orang maut atau cedera akibat serangan terhadap orang awam, terutama di Helmand, Kandahar dan wilayah Herat dalam tempoh 10 hari Taliban berperang bagi menawan Afghanistan.

"Sekurang-kurangnya 241,000 orang terpaksa meninggalkan rumah mereka, hospital penuh, makanan dan bekalan perubatan berkurangan manakala jalan raya, jambatan, sekolah, klinik serta infrastruktur penting dirosakkan.

"Saya juga amat terganggu dengan laporan yang mendakwa Taliban sudah mula melakukan penindasan terhadap hak asasi manusia di wilayah dikuasai mereka, khususnya terhadap wanita dan wartawan.

"Ia sangat membimbangkan dan menyedihkan melihat laporan mendakwa hak gadis dan wanita dirampas daripada mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 7:00 AM