Sri Lanka kini berdepan peningkatan kes jangkita Covid-19. - FOTO AFP
Sri Lanka kini berdepan peningkatan kes jangkita Covid-19. - FOTO AFP
AFP

Colombo: Presiden Sri Lanka melucutkan jawatan menteri kesihatan yang secara terbuka menggalakkan penggunaan ramuan sihir dan jampi untuk memerangi Covid-19, ketika jumlah jangkitan dan kematian akibat Covid-19 berada pada tahap tertinggi.

Pejabat Presiden Gotabaya Rajapaksa berkata, portfolio kesihatan Pavithra Wanniarachchi telah diberikan kepada Menteri Media, Keheliya Rambukwella yang juga jurucakap kerajaan.

Wanniarachchi berada dalam rawatan intensif pada Januari lalu selepas dijangkiti virus itu walaupun secara terbuka mengakui mengamalkan pengambilan 'ramuan ajaib' untuk Covid-19 yang dibuat oleh ahli sihir.

Dia juga menuangkan sebotol 'air berkat' ke sungai pada bulan November selepas seorang lelaki yang mengaku dewa memberitahunya bahawa ia akan mengakhiri wabak di negara kepulauan yang berjumlah 21 juta orang itu.

Kementerian Kesihatan Sri Lanka di bawah Wanniarachchi mendapat kritikan hebat minggu lalu kerana mengambil ringan jangkitan Covid-19.

Walaupun diturunkan pangkat, Wanniarachchi kelal berada dalam kabinet di mana dia diberikan jawatan kurang penting iaitu di kementerian pengangkutan.

Jumlah kematian harian akibat Covid-19 mencecah 150 pada minggu lalu dengan krematorium berdepan kesesakan luar biasa.

Angka jangkitan harian melepasi 3,000, dan dengan hospital yang berusaha untuk mengatasi peningkatan kes, kakitangan kesihatan mengatakan jumlah jangkitan sebenarnya mungkin tiga kali lebih tinggi.

Kerajaan setakat ini menolak permintaan untuk penutupan penuh bagi menahan lonjakan, tetapi minggu lalu mengetatkan sekatan.

Acara pernikahan dan pesta dilarang mulai Selasa, sementara upacara kebesaran dan perjumpaan awam juga dilarang hingga 1 September.

Kedai dan restoran perlu mengikuti perintah berkurung malam bermula Isnin.

Dalam rombakan kabinet, Menteri Luar, Dinesh Gunawardena dan Menteri Pendidikan, Gamini Lakshman Peiris bertukar portfolio masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 5:46 PM