Orang ramai beratur untuk mendapatkan makanan percuma di Kuta, Bali, Indonesia. - FOTO EPA
Orang ramai beratur untuk mendapatkan makanan percuma di Kuta, Bali, Indonesia. - FOTO EPA
Agensi

Jakarta: Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi berkata, penduduk kampung menjerit ke arahnya meminta sekatan pergerakan ditarik semula.

Menurut Jokowi, kerajaan melaksanakan pemberlakuan pembatasan kegiatan masyarakat (PPKM) darurat agar ekonomi tetap dapat berjalan.

Katanya, sekatan pergerakan penuh atau 'lockdown' tidak dilaksanakan kerana cara berkenaan akan menyebabkan semua sektor tidak beroperasi.

"PPKM ini umpama semi-lockdown. Saya masuk ke kampung dan daerah, penduduk menjerit meminta dibuka semula (sekatan)," katanya seperti dilaporkan Kompas.

Menurutnya, pentadbirannya terpaksa melaksanakan PPKM bagi mengekang penularan kes Covid-19 yang tersebar pantas disebabkan varian Delta.

"Cara ini diambil kerana kita boleh mengatasi krisis kesihatan dan dalam masa sama tidak melupakan aktiviti ekonomi," katanya.

Jokowi mendakwa, PPKM darurat berjaya melandaikan kes Covid-19 di Pulau Jawa di mana jumlah penghunian katil di Hospital Medan Wisma Atlet Jakarta menurun ke 38 peratus berbanding 90 peratus sebelum ini.

Sementara itu, menurutnya, beliau menggesa penduduk Indonesia untuk terus menjaga protokol kesihatan dan mendapatkan vaksin Covid-19.

"Kerajaan sasarkan untuk mencapai 70 peratus penduduk Indonesia menerima vaksin menjelang akhir tahun ini supaya imuniti kelompok dapat dicapai segera dan pandemik ini dapat berakhir.

"Saya bukan mahu menakutkan semua orang, namun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga tidak dapat menyatakan bila pandemik ini akan berakhir," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 7:42 PM