St Kilda Road, antara laluan sibuk di Melbourne, sunyi hari ini selepas penguatkuasaan semula perintah berkurung. FOTO AFP.
St Kilda Road, antara laluan sibuk di Melbourne, sunyi hari ini selepas penguatkuasaan semula perintah berkurung. FOTO AFP.
AFP

Melbourne: Jalan raya sekitar Melbourne kembali sunyi buat kali kelima, ketika Australia giat berjuang untuk mengekang varian Delta Covid-19 yang sudah menular di dua bandaraya terbesarnya.

Lebih daripada 12 juta rakyat Australia kini di bawah perintah berkurung dengan penduduk Melbourne memulakan hari pertama, hari ini bersama Sydney yang sudah menjalani perintah itu selama beberapa minggu.

"Anda lihat sekeliling bandar hari ini, tidak ada seorang pun di sini. Bandar jadi sunyi," kata penduduk Melbourne, Mike Cameron kepada AFP.

Penduduk hanya dibenarkan keluar rumah atas beberapa perkara termasuk bersenam dan membeli barang keperluan, namun ramai berharap larangan itu hanya untuk seketika sahaja.

"Harapnya ia hanya untuk lima hari sahaja. Saya berpendapat keadaan masih terkawal dan syukur kita ambil tindakan awal.

"Saya rasa Sydney agak lewat (bertindak) dan kini mereka terperangkap dalam situasi buruk," kata seorang lagi penduduk Melbourne, Matilda Dempsey, 18.

Pihak berkuasa di seluruh negara berusaha keras mengesan kontak dan mengelak virus daripada merebak ke kawasan yang sebahagian besar penduduk belum divaksin.

Melbourne mencatatkan enam kes baharu Covid-19 pada Jumaat, semuanya berkaitan kluster sedia ada, menjadikan keseluruhan 24 kes.

Bagaimanapun, terdapat kebimbangan penduduk terdedah kepada virus ketika berlangsungnya beberapa acara besar termasuk pertandingan ragbi antara Australia dan Perancis, baru-baru ini.

Sementara itu, di Sydney, Menteri Kesihatan New South Wales, Brad Hazzard memberitahu media, perintah berkurung mungkin bersambung dua minggu lagi untuk pihak berkuasa mengambil tindakan mencegah penularan dalam komuniti.

Australia dipuji kerana kecekapan menangani pandemik lebih awal dan kejayaan strategi 'sifar Covid' yang dicapai, terutama menerusi penutupan sempadan sejak Mac tahun lalu.

Namun, pemberian vaksin negara itu agak perlahan menjadikan hanya 10 peratus populasi menerima suntikan, berbanding negara membangun lain yang bersedia dibuka semula.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 1:49 PM