Seorang wanita menjalani ujian calitan Covid-19 di Bangkok. FOTO EPA
Seorang wanita menjalani ujian calitan Covid-19 di Bangkok. FOTO EPA
BERNAMA

Bangkok: Thailand akan mengubah terminal satelit Lapangan Terbang Suvarnabhumi yang baru disiapkan menjadi hospital lapangan sebagai persediaan menghadapi peningkatan kes jangkitan Covid-19.

Kajian menunjukkan kes harian di negara berkenaan mungkin mencecah 10,000 berikutan penularan varian Delta, yang mungkin menjadi dominan dalam semua kes baru seawal Ogos nanti.

Pembantu jurucakap, Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Dr Apisamai Srirangsan berkata, hospital lapangan itu akan menyediakan sekurang-kurangnya 5,000 katil.

"Ia bakal dibuka bulan depan," katanya dalam taklimat harian Covid-19 hari ini.

Ia turut dilengkapi unit rawatan rapi (ICU), bilik perubatan dan sokongan untuk pesakit bergejala ringan.

Sementara itu, Thailand akan membeli tambahan 30 juta lagi dos vaksin Covid-19 yang akan digunakan pada Julai dan Ogos dalam usaha meningkatkan kadar vaksinasi bagi mencapai sasaran ditetapkan.

Pengarah Bahagian Berita, Jabatan Penerangan Kementerian Luar, Pensom Lertsithichai berkata, kabinet pada Selasa telah meluluskan pembelian 20 juta dos vaksin Covid-19 Pfizer.

Sementara menunggu penghantaran vaksin itu pada suku keempat tahun ini, beliau berkata 10 juta lagi dos vaksin Sinovac dari China dijangka tiba dua bulan lagi.

"Kabinet juga meluluskan Moderna sebagai vaksin alternatif, yang akan ditawarkan oleh hospital swasta kepada orang ramai dan dikenakan bayaran," katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini hari ini.

Pensom berkata, Thailand mungkin tidak dapat mencapai sasaran vaksinasi bulan ini kerana hanya akan memperoleh lima hingga enam juta dos vaksin AstraZeneca yang dihasilkan dalam negara.

Berikutan itu, katanya pihak berkuasa telah meningkatkan suntikan kepada warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit menggunakan vaksin AstraZeneca, selebihnya disuntik menggunakan vaksin Sinovac.

Thailand menyasarkan purata 10 juta suntikan sebulan dari Julai sehingga awal Oktober dengan sekurang-kurangnya 50 juta penduduk menerima suntikan pertama dan menjelang pertengahan Oktober ketika kerajaan mahu membuka semula pintunya kepada pelancong yang lengkap divaksin.

Sementara itu, Pensom menggesa orang ramai terutamanya golongan berisiko agar menerima mana-mana jenis vaksin yang tersedia demi menyelamatkan nyawa dan meringankan beban sistem penjagaan kesihatan.

Menurut Penasihat CCSA, Dr Udom Kachintorn, semua vaksin yang diberikan di Thailand sangat berkesan untuk mencegah jangkitan yang teruk dan kematian.

Mengenai suntikan 'booster', Pensom berkata kolej perubatan di Thailand sedang mengkaji keperluan dan keberkesanan suntikan penggalak itu.

"Buat masa ini tiada data saintifik mengenai keberkesanan pengambilan suntikan 'booster', namun, beberapa negara telah memberikan campuran vaksin yang dihasilkan menggunakan teknologi berbeza yang dilihat amat membantu mengurangan jumlah kemasukan di hospital dan kematian.

"Dapatan kajian ini dijangkakan dapat dirumuskan dalam sebulan. Kemudian, jika dianggap perlu, rancangan untuk suntikan 'booster' akan dimulakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 9:24 PM