VAKSIN Covid-19 Sinovac. FOTO fail AFP
VAKSIN Covid-19 Sinovac. FOTO fail AFP
BERNAMA

Bangkok: Kajian di Thailand menunjukkan dua dos vaksin Covid-19 Sinovac China berkesan sehingga 71 dan 91 peratus terhadap varian Alfa, yang pertama kali dikesan di England.

Penemuan itu dikemukakan hari ini oleh Jawatankuasa Penyakit Berjangkit Thailand dan Jawatankuasa Vaksin Kebangsaan.

Penolong jurucakap Kementerian Luar Natapanu Nopakun berkata penemuan itu berdasarkan kajian dilakukan dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi di Phuket, Samut Sakhon dan Chiang Rai termasuk petugas kesihatan awam, pada April dan Mei lalu.

"Dapatan kajian juga menunjukkan vaksin itu berkesan mengurangkan jangkitan dalam kalangan petugas kesihatan awam sebanyak 70.9 peratus," katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini hari ini.

Sejak April, varian Alfa telah dikesan pada hampir 90 peratus kes Covid-19 di Thailand.

Sementara itu, timbalan jurucakap kerajaan Rachada Dhnadirek menyatakan Jepun akan menyumbang 1.05 juta dos vaksin AstraZeneca kepada Thailand, yang dijadual tiba awal Julai.

"Ia akan dapat membantu meningkatkan lagi perkhidmatan kesihatan awam Thailand," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sepanjang 24 jam lalu, Thailand mencatat 4,662 kes baharu Covid-19 dan 36 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 254,515 dan 1,970 kematian setakat ini.

Daripada 4,662 kes baharu, 4,634 adalah jangkitan tempatan dan 28 kes import termasuk lapan rakyat Thailand yang pulang dari Kemboja dengan menyeberang sempadan secara haram.

Kes kematian terkini pula melibatkan 35 rakyat tempatan dan seorang warga New Zealand berusia antara 41 hingga 93 tahun.

Bangkok kekal mencatat jumlah kes tertinggi sebanyak 1,692 kes diikuti Samut Prakan (647), Samut Sakhon (293), Nonthaburi (185), Songkhala (182), Pattani (143) dan Yala (89).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 9:42 PM