GRAFITI tulisan norma baharu disekitar Jakarta. FOTO AFP
GRAFITI tulisan norma baharu disekitar Jakarta. FOTO AFP
AFP

Jakarta: Pelan sekatan mikro Covid-19 Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dikritik kerana gagal capai matlamat ketika semua negara serantau mengambil langkah lebih tegas.

Langkah itu mendapat kritikan meluasnya, antara lain dari Gabenor Yogyakarta, Hamengkubuwono X, juga digelar Sultan Yogyakarta, yang mahu langkah proaktif seperti perintah berkurung berskala besar dilaksanakan.

Beliau menegaskan, pentadbiran kerajaan masih berkira-kira mengenakan penutupan penuh di negeri itu meskipun berlaku peningkatan kes yang ketara sejak cuti perayaan Aidilfitri.

Gabenor itu berpendapat, sekatan skala mikro aktiviti awam (PPKM Mikro) tidak cukup untuk menyekat jangkitan Covid-19 yang meningkatkan kadar kematian di negeri itu sejak beberapa hari lalu.

"Langkah yang sepatutnya sekarang adalah penutupan penuh," katanya kepada media tempatan.

Perkara sama turut dinyatakan Gabenor Jakarta, Anies Baswedan yang berkata, sekatan dalam negeri tidak cukup untuk memperlahankan jangkitan Covid-19 di bandar itu kerana ia turut tersebar di bandar-bandar lain.

"Bagaimanapun, pemimpin negeri atau wilayah tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan sekatan lebih tegas lagi meluas.

"Ini kerana undang-undang memperuntukkan hanya Menteri Kesihatan boleh melaksanakan sekatan sedemikian manakala Menteri Dalam Negeri berkuasa melanjutkan PPKM," katanya.

Semalam, Indonesia mencatatkan 13,737 kes, rekod tertinggi dilaporkan sejak empat hari berturut-turut manakala Jakarta, Jawa Barat, Jawa Tengah, Jawa Timur dan Yogyakarta adalah negeri penyumbang angka terbesar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 6:20 AM