GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
AFP

Jerusalem: Israel akan memberikan sekitar satu juta dos vaksin Covid-19 kepada Pihak Berkuasa Palestin sebagai pertukaran berikutan ia menghampiri tarikh tamat tempoh, kata Pejabat Perdana Menteri Israel hari ini.

"Israel telah menandatangani perjanjian dengan Pihak Berkuasa Palestin, dan akan menyediakan sekitar satu juta dos vaksin Pfizer yang akan tamat tempoh," kata Pejabat Perdana Menteri Naftali Bennett, dalam kenyataan bersama Kementerian Pertahanan dan Kesihatan.

Israel pula "akan menerima dos yang akan dikirimkan oleh Pfizer untuk Pihak Berkuasa Palestin," kata kenyataan itu.

Pihak Berkuasa Palestin, yang berpusat di Tebing Barat, enggan mengulas mengenai perjanjian itu.

"Israel akan menerima jumlah dos Pfizer yang sama pada bulan September/Oktober 2021, yang sepatutnya dihantar untuk Palestin," tambah kenyataan Israel itu.

"Perjanjian ini dilakukan selepas mengambil kira bahawa stok vaksin yang dimiliki Israel memenuhi keperluannya ketika ini."

Israel melancarkan kempen vaksinasi secara menyeluruh selepas memperoleh berjuta-juta dos vaksin Pfizer-BioNTech.

Lebih daripada 55 peratus penduduk Israel - kira-kira 5.1 juta orang - telah menerima kedua-dua dos vaksin.

Di Palestin, lebih 260,000 orang telah menerima dua dos mereka di Tebing Barat dan Gaza, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

Pada Rabu dan Khamis, 170 kes Covid-19 baru dicatat di Tebing Barat dan Gaza, menjadikan jumlahnya sejak permulaan wabak itu kepada lebih dari 312,000.

Di Israel, 25 kes baru dicatat dari Khamis hingga Jumaat, menjadikan jumlah keseluruhan kes menjadi 840,000, dengan lebih 6,420 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 7:33 PM