DEBBY (kiri)  sanggup mendermakan buah pinggang kepada bekas isteri suaminya, Mylaen (kanan). FOTO Agensi
DEBBY (kiri) sanggup mendermakan buah pinggang kepada bekas isteri suaminya, Mylaen (kanan). FOTO Agensi
Agensi

Miami: Walaupun tiada pertalian darah, seorang wanita di Fort Lauderdale, Florida, Amerika Syarikat (AS) sanggup mendermakan buah pinggangnya untuk bekas isteri kepada suami yang baru dikahwininya.

Gulf News melaporkan Debby Neal-Strickland mendermakan organnya itu kepada Mylaen Merthe, 59, selepas dua hari mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Jim Strickland.

Mylaen dikatakan sudah lama menderita akibat penyakit buah pinggang dan keadaannya semakin serius tahun lalu apabila adanya lingkaran gelap bawah mata dan badannya jadi lesu serta tidak bertenaga.

Ketika dimasukkan ke hospital pada November lalu, buah pinggang Mylaen berfungsi pada tahap lapan peratus saja.

Abang Mylaen berhasrat mendermakan buah pinggangnya, namun organ itu tidak serasi dengan adiknya dan Debby akhirnya tampil menawarkan diri.

Debby melakukannya kerana tahu anak perempuan kepada Mylaen sudah hamil dan wanita itu bakal bergelar nenek.

Jadi, Debby tidak sanggup melihat anak perempuan Mylaen melahirkan zuriat tanpa ibunya di sisi.

"Saya tidak boleh mengubahnya. Tuhan 'beritahu' saya untuk lakukannya kerana organ saya serasi dengannya," katanya.

Sementara itu, Mylaen gembira kerana diberi peluang untuk terus hidup dan melihat kelahiran cucu sulungnya pada Mac lalu.

"Saya masih di sini dan dapat memegangnya (cucu).

"Ini yang dinamakan dunia dan keluarga jadi kita perlu kekal bersama. Dia (Debby) menyelamatkan nyawa saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 6:31 AM