Sri Lanka berdepan krisis pencemaran laut terburuk. FOTO AFP
Sri Lanka berdepan krisis pencemaran laut terburuk. FOTO AFP
AFP

Negombo, Sri Lanka: Sri Lanka berdepan krisis pencemaran laut terburuk apabila bertan-tan sisa plastik daripada kapal kontena yang terbakar mula terdampar ke daratan, kata Pegawai Kanan Alam Sekitar hari ini.

Kebakaran pada Kapal MV X-Press Pearl yang didaftarkan di Singapura itu kini memasuki hari ke-10.

Jurucakap tentera laut, Kapten Indika de Silva kepada berkata, asap dan percikan masih dapat dilihat dari kapal itu.

"Bagaimanapun, keadaan kapal stabil dan masih berlabuh," katanya.

Pihak berkuasa semakin bimbang berikutan jutaan palet 'polyethylene' mula hanyut ke pesisiran pantai dan dikhuatiri mengancam kawasan pembiakan ikan.

"Ini mungkin pencemaran pantai terburuk dalam sejarah kita," kata Ketua Lembaga Alam Sekitar dan Perlindungan Laut (MEPA) Sri Lanka, Dharshani Lahandapura.

Ribuan anggota tentera dan keselamatan dalam pakaian hazmat membersihkan sampah plastik dan serpihan lain yang terdampar di pantai.

Kesan terhadap paya bakau, lagun dan hidupan liar laut di wilayah itu sedang dinilai.

Mata pencarian nelayan kini berisiko berikutan pihak berkuasa bimbang berlaku kebocoran tumpahan minyak, selain pencemaran akibat 25 tan asid nitrik, natrium hidroksida, pelincir serta bahan kimia lain.

Aktiviti memancing dalam jarak 80 kilometer dilarang sama sekali.

Pegawai kanan tentera laut, Manjula Dulanjala berkata, pasukannya hampir membersihkan pantai pada hari Jumaat malam, tetapi terkejut apabila mendapati ia dipenuhi (dengan plastik) semula pada keesokan harinya.

"Ini seperti koronavirus. Tidak ada penghujungnya. Kami membuang semua plastik semalam, hanya untuk melihat lebih banyak plastik dibawa oleh ombak dalam tempoh satu malam," katanya.

Kapal X-Press Pearl terbakar ketika menunggu untuk memasuki pelabuhan Colombo dan masih berlabuh di luar pelabuhan terbabit.

Seramai 25 anak kapal diselamatkan selepas berlaku letupan pada kapal berkenaan.

Empat kapal India membantu tentera laut Sri Lanka untuk mengawal kebakaran dengan dua kapal mengendalikan tumpahan minyak, kata pegawainya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Mei 2021 @ 9:44 PM