PENDUDUK di Ahmedabad, Gujarat, meredah jalan dinaiki air susulan hujan lebat akibat Taufan Tauktae. FOTO EPA
PENDUDUK di Ahmedabad, Gujarat, meredah jalan dinaiki air susulan hujan lebat akibat Taufan Tauktae. FOTO EPA
BERNAMA

New Delhi: Taufan Tauktae menyebabkan sekurang-kurangnya 37 orang terbunuh di India pada Selasa, menurut Agensi Anadolu (AA).

Seramai 12 orang dilaporkan maut di Maharashtra, lapan di Karnataka, 13 di Gujarat dan masing-masing dua di Goa dan Kerala, menurut catatan rasmi.

Taufan itu mendarat pada lewat Isnin di barat negeri Gujarat dengan kelajuan angin mencecah sehingga 185 kilometer (km) sejam, menyebabkan rumah musnah dan pokok tumbang.

"Lebih 16,000 rumah rosak, dan lebih 40,000 pokok dan lebih 1,000 tiang tumbang," kata Ketua Menteri Gujarat, Vijay Rupani.

Tentera Laut India melancarkan operasi mencari dan menyelamat untuk mengesan 81 orang yang dilaporkan hilang selepas sebuah bot tenggelam di 35 batu nautika dari Mumbai.

Kapal tentera laut India Beas, Betwa dan Teg bergabung dengan INS Kochi dan Kolkata dalam operasi itu, seramai 180 mangsa terselamat, demikian menurut kenyataan Kementerian Pertahanan.

Dalam satu lagi operasi lain, helikopter Tentera Laut India berjaya menyelamatkan 35 kru kapal GAL Constructor.

Perdana Menteri Narendra Modi dijadual melawat Gujarat dan Diu pada Rabu.

Beliau akan melakukan tinjauan menerusi udara di Una, Diu, Jafarabad dan Mahuva sebelum mengadakan mesyuarat di Ahmedabad.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 12:02 PM