DERETAN kedai ditutup setelah arahan penutupan oleh pihak kerajaan susulan laporan kes Covid-19 di Quetta, wilayah  Balochistan, Pakistan. FOTO EPA
DERETAN kedai ditutup setelah arahan penutupan oleh pihak kerajaan susulan laporan kes Covid-19 di Quetta, wilayah Balochistan, Pakistan. FOTO EPA
AFP

Islamabad: Pakistan melaksanakan penutupan selama sembilan hari bermula hari ini bagi mengekang penularan Covid-19 ketika sambutan Aidilfitri minggu depan.

Penutupan ini adalah yang paling ketat dilaksanakan, selepas mengenakan sekatan pergerakan selama sebulan pada April tahun lalu.

Pakistan kini berdepan gelombang ketiga pandemik Covid-19 dan bimbangkan penularan dari India.

"Langkah ini adalah perlu terutama dalam keadaan virus yang bermutasi," kata Menteri Perancangan, Asad Umar yang mengetuai pasukan tindak balas Covid-19.

Aidilfitri menyaksikan pergerakan besar-besaran warga Pakistan di seluruh negara dan lokasi tumpuan pelancong juga dipenuhi pengunjung.

Tahun lalu, negara berkenaan merekodkan peningkatan kes beberapa minggu selepas Aidilfitri.

Perniagaan, hotel dan restoran serta pasar dan taman akan ditutup, manakala pengangkutan awam antara wilayah dan dalam bandar juga dihentikan.

Pasukan tentera akan dikerah untuk memantau sekatan ini.

Bagaimanapun, masjid yang penuh setiap malam sepanjang Ramadan ini walaupun tidak ramai yang memakai pelitup muka, akan terus dibuka.

Pihak berkuasa bimbang berlakunya konfrontasi sekiranya tempat ibadat ditutup khususnya di negara konservatif seperti Pakistan.

Sehingga kini, Pakistan merekodkan lebih 850,000 jangkitan dengan 18,600 kematian namun, dengan ujian saringan yang terhad selain masalah di sektor kesihatan, ramai yang bimbang keadaan sebenar adalah lebih teruk.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 6:16 PM