BON-CHAN. FOTO Agensi
BON-CHAN. FOTO Agensi
Agensi

Tokyo: Seekor kura-kura berusia 25 tahun di Jepun menjadi terkenal seperti selebriti selepas videonya tular di media sosial.

Mirror UK melaporkan, video Bon-chan, kura-kura baka Afrika kepunyaan pengarah rumah pengebumian, Mitani Hisao, 68, tular selepas dimuat naik seorang pengguna TikTok, @sugiomart.

Video meraih lebih tujuh juta tontonan itu menunjukkan Mitani membawa Bon-chan bersiar-siar di ibu negara Jepun itu.

Ia membuatkan mereka menjadi tumpuan hingga ramai berminat mengambil gambar lelaki itu dan kura-kuranya, di tempat awam.

Menerusi temu bual bersama Play Tokyo pada tahun 2019, Hisao berkata, kali pertama dia membawa Bon-Chan bersiar-siar adalah ketika haiwan peliharaannya berusia 10 tahun, kira-kira 13 tahun yang lalu.

"Kami menggunakan tiga laluan berbeza... yang pertama... selama beberapa tahun kemudian melalui jalan lain dan kini bersiar di pusat perniagaan," katanya.

Menceritakan perihal Bon-Chan, Mitani berkata, saiz haiwan peliharaannya itu hanya sebesar tapak tangan ketika kecil.

Namun, Bon-Chan membesar dengan pantas dan beratnya kini mencecah 70 kilogram.

"Saya sangkakan Bon-chan akan membesar dengan perlahan sepanjang tetapi tumbesarannya pantas ketika berusia 10 tahun.

"Bon-chan boleh hidup lebih lama daripada saya, kemungkinan 100 tahun jadi saya harus segera menemui pemilik baru.

"Saya harap akan ada individu yang sudi memeliharanya dan semoga saya dapat membawanya berjalan untuk 10 tahun lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 4:49 PM