ANTARA individu di India yang disyaki menghidap Covid-19 menerima bantuan bekalan oksigen. FOTO EPA
ANTARA individu di India yang disyaki menghidap Covid-19 menerima bantuan bekalan oksigen. FOTO EPA
AFP

New Delhi: Lebih banyak bantuan kecemasan perubatan dari negara luar tiba di sini, hari ini, untuk menampung kekurangan bekalan oksigen bagi pesakit Covid-19.

Peralatan perubatan itu termasuk penjana oksigen yang diterbangkan ke ibu negara, New Delhi dari Perancis dan Jerman.

"Kami di sini kerana membawa bantuan yang akan menyelamatkan nyawa.

"Di luar sana hospital penuh. Kadang-kadang orang maut di depan hospital, kadang-kadang mereka mati dalam kenderaan.

"Mereka tidak mempunyai oksigen lagi," kata Duta Jerman untuk India, Walter J Lindner.

Katanya, sebanyak 120 ventilator tiba di India lewat petang, semalam.

Sementara itu, Duta Perancis Emmanuel Lenain berkata, bantuan kecemasan itu sebagai tanda solidariti negaranya dengan India.

"Wabak ini masih berlaku di satu negara. Dunia tidak akan selamat sehingga kita semua selamat.

"Oleh itu, ini adalah masalah mendesak," katanya selepas penghantaran lapan loji penjana oksigen dan puluhan ventilator dari Perancis, pada pagi Ahad.

Pada Ahad, India merekodkan 3,689 kematian, angka kematian harian tertinggi sejak penularan pandemik Covid-19.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kematian di negara itu lebih 215,000 orang.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 5:02 PM