PETUGAS kesihatan lengkap mengenakan PPE sedang merawat pesakit Covid-19 di New Delhi. FOTO AFP
PETUGAS kesihatan lengkap mengenakan PPE sedang merawat pesakit Covid-19 di New Delhi. FOTO AFP
Agensi

New Delhi: Situasi yang semakin memburuk di India menyebabkan kerajaan mengarahkan tentera untuk membantu menangani peningkatan kes jangkitan Covid-19.

Portal ABC melaporkan banyak negara termasuk United Kingdom, Jerman dan Amerika Syarikat (AS) juga berjanji akan menghantar bantuan perubatan segera ke negara ini.

Isnin lalu, India mencatatkan kes jangkitan baharu melebihi 350,000 kes untuk lima hari berturut-turut

Situasi di negara penduduk terpadat kedua di dunia itu dianggap 'sungguh menyayat hati', kata Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Menurutnya, WHO juga menghantar kakitangan dan bekalan perubatan tambahan termasuk alat bantuan oksigen untuk membantu India.

Difahamkan, bekalan oksigen hampir habis, unit rawatan rapi (ICU) beroperasi dengan kapasiti penuh dan hampir semua ventilator digunakan.

Malah, rumah pembakaran mayat kini penuh dan mayat dibakar di tempat terbuka.

Isnin lalu juga, negara ini melaporkan 2,812 kematian dengan kira-kira 117 orang rakyat India dijangkiti virus itu setiap jam.

Pakar mengatakan sebenarnya angka itu mungkin lebih rendah daripada jumlah kematian sebenar.

Jangkitan baharu menjadikan kes kumulatif di India melebihi 17.3 juta, di belakang AS.

Perdana Menteri Narendra Modi mengatakan dia sudah berbincang dengan Presiden AS Joe Biden mengenai krisis itu.

Biden mengatakan AS akan menghantar bekalan perubatan ke India untuk membantu memerangi wabak itu.

"India benar-benar memerlukan 'oksigen'.

"Dan sementara kami dapat membantu dengan stok perubatan, permintaan khusus mereka adalah untuk bantuan berkaitan dengan bekalan oksigen secara fizikal," kata Menteri Kesihatan Greg Hunt.

Bukan saja itu, Perancis akan membekalkan India dengan bantuan perubatan skala besar dengan penghantaran pada hujung minggu depan.

Ia merangkumi mesin bekalan oksigen, alat pernafasan dan bekas kriogenik.

Kira-kira 118 juta rakyat India sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, hanya sekitar satu persepuluh daripada 1.35 bilion penduduknya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 6:50 AM