Sekurang-kurangnya 738 orang terbunuh dan 3,300 lagi dipenjara sebagai tahanan politik, menurut kumpulan pemantau tempatan. FOTO AFP
Sekurang-kurangnya 738 orang terbunuh dan 3,300 lagi dipenjara sebagai tahanan politik, menurut kumpulan pemantau tempatan. FOTO AFP
AFP

Yangon: Tindakan keras junta tentera Myanmar terhadap penunjuk perasaan antikudeta telah menyebabkan hampir 250,000 penduduk terusir, kata wakil hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hari ini.

Tentera meningkatkan penggunaan kekerasan bagi menghentikan demonstrasi besar-besaran terhadap rampasan kuasa 1 Februari lalu yang menggulingkan pemimpin awam, Aung San Suu Kyi.

Sekurang-kurangnya 738 orang terbunuh dan 3,300 lagi dipenjara sebagai tahanan politik, menurut kumpulan pemantau tempatan.

"Serangan junta menyebabkan hampir satu perempat dari sejuta penduduk Myanmar diusir. Dunia mesti bertindak segera untuk menangani bencana kemanusiaan ini," ciap wakil khas PBB mengenai situasi hak asasi manusia di Myanmar di Twitternya hari ini.

Sebuah kumpulan bantuan Kristian, Free Burma Rangers minggu lalu menganggarkan sekurang-kurangnya 24,000 penduduk kehilangan tempat tinggal di utara wilayah Karen, di tengah-tengah serangan darat dan udara tentera awal bulan ini.

Jurucakap Briged Kesatuan Nasional Karen, Padoh Mann Mann menyatakan lebih daripada 2,000 penduduk kini sudah melintasi sempadan Myanmar menuju ke Thailand dan beribu-ribu lagi kehilangan tempat tinggal.

"Mereka semua bersembunyi di hutan berdekatan kampung mereka," katanya.

Di tengah-tengah meningkatnya keganasan, pemimpin Asia Tenggara dan Menteri Luar Negeri akan mengadakan perbincangan mengenai krisis Myanmar di Jakarta Sabtu ini.

Pembabitan ketua delegasi, Min Aung Hlaing dalam sidang pertemuan itu membangkitkan kemarahan aktivis dan kumpulan hak asasi manusia.

"Min Aung Hlaing, yang berdepan sekatan antarabangsa ekoran peranannya dalam kekejaman ketenteraan dan tindakan keras terhadap penunjuk perasaan prodemokrasi, tidak wajar diundang pada perhimpunan antara kerajaan bagi menangani krisis yang dia sendiri lakukan," kata Brad Adams dari Human Rights Watch.

Malam tadi, pihak berkuasa membebaskan wartawan bebas, Ko Latt, yang ditahan selama sebulan di ibu negara, Naypyidaw.

Sekurang-kurangnya 70 wartawan ditangkap sejak rampasan kuasa dan 38 ditahan, menurut ASEAN.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 6:52 PM