Sumbangan yang diterima mangsa ribut Seroja.
Sumbangan yang diterima mangsa ribut Seroja.
Agensi

Jakarta: Penduduk di daerah Kupang, Nusa Tenggara Timur berasa terhina apabila menerima bantuan yang disifatkan terlalu lucu.

Ini kerana mereka menerima sebiji telur, sebungkus mi segera dan satu kilogram beras.

Bantuan berkenaan diberikan oleh kerajaan tempatan daerah Kupang untuk mangsa ribut tropika Seroja yang melanda kawasan itu awal bulan ini.

Seorang penduduk, Amtiran berkata, bantuan berkenaan dianggap seperti lawak jenaka dan seolah-olah menghina penduduk kampung.

"Walaupun kami menjadi mangsa bencana alam, namun kami masih mempunyai pisang dan kelapa yang nilainya masih tinggi berbanding bantuan diberikan," katanya seperti dilaporkan Kompas.

Katanya, dia juga pelik dengan sistem bantuan yang diberikan kerana kawasan itu dua kali dilanda ribut berkenaan.

"Kami bingung dengan model bantuan ini kerana bencana yang melanda kami adalah sangat serius," katanya.

Seorang lagi penduduk, Yuli Bureni berkata, bantuan yang diterima itu disifatkan seperti mempersenda penduduk kampung yang kehilangan tempat tinggal.

"Ini bantuan yang aneh. Kami berasa seperti dipermainkan dengan bantuan beras satu kilo dan telur sebiji selain sebungkus mi segera.

"Walaupun bantuan ini sedikit, kami masih bersyukur. Tetapi kami rasa sangat lucu," katanya.

Sementara itu, wakil kerajaan, Kornelis Nenoharan berkata, pihaknya mengagihkan bantuan beras, telur, minyak masak dan mi segera dalam dua fasa.

"Bantuan fasa pertama diberikan pada 14 April lalu berupa 2,500 kilogram beras, 50 kotak mi segera, 48 bekas telur, 18 beg minyak masak dua liter selain lima tikar.

"Bantuan fasa kedua pula diberikan pada 17 April lalu berupa 2,500 kilogram beras, satu unit set generator, 30 tilam, 16 kilogram gula, 50 kotak pelitup muka, 50 kotak mi segera dan lima kotak air mineral 1.5 liter," katanya.

Menurutnya, bantuan berkenaan diberikan sama rata kepada semua mangsa.

"Sepatutnya setiap keluarga mendapat dua kilogram beras. Namun, jumlah telur dan mi segera diakui tidak mencukupi.

"Walaupun setiap keluarga hanya mendapat sebiji telur atau sebungkus mi segera, kami pastikan ia sampai ke tangan penerima," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 6:25 PM