KUALA LUMPUR 27 NOVEMBER 2020. Gambar Hiasan penyelidikan tentang vaksin. NSTP/HASRIYASYAH SABUDIN
KUALA LUMPUR 27 NOVEMBER 2020. Gambar Hiasan penyelidikan tentang vaksin. NSTP/HASRIYASYAH SABUDIN
Agensi

Singapura: Rakyat Singapura diberi peluang memilih vaksin Covid-19 yang ingin diambil dan boleh merujuk ke laman web Kementerian Kesihatan (MOH), yang mengetengahkan senarai penuh pusat vaksinasi dan vaksin yang disediakan.

Vaksin Moderna digunakan di 11 daripada 38 pusat vaksinasi, manakala selebihnya menggunakan vaksin keluaran Pfizer-BioNTech.

Rakyat Singapura juga boleh memilih pusat vaksinasi atau poliklinik yang ingin mereka kunjungi walaupun terdapat notis di laman web itu yang menyatakan bahawa sesetengah pusat vaksinasi mungkin mempunyai tempat terhad "ekoran permintaan tinggi bagi vaksinasi Covid-19 di Singapura dan bekalan yang terhad."

Berita Harian Singapura melaporkan, vaksin Pfizer-BioNTech adalah vaksin Covid-19 yang pertama diluluskan untuk digunakan di Singapura, dengan penghantaran pertama tiba akhir Disember tahun lalu.

Bulan lalu, MOH telah mengumumkan bahawa vaksin Moderna akan dibekalkan di empat kelab masyarakat termasuk Hong Kah North, Marsiling, Punggol 21 dan Radin Mas.

Tujuh lagi pusat telah ditambah ke senarai berkenaan termasuk Kolam Ayer, Buona Vista, Potong Pasir, Tampines East, Woodlands, Kebun Baru dan Yew Tee.

Pusat vaksinasi yang lain, poliklinik dan Klinik Kesediaan Kesihatan Awam lain akan terus menawarkan vaksin Pfizer-BioNTech.

"Setiap pusat vaksinasi akan hanya menyimpan dan memberikan satu jenis vaksin.

"Individu perlu memilih pusat vaksinasi yang sama bagi kedua-dua janji temu, apabila membuat tempahan melalui sistem janji temu nasional," kata MOH dalam kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 9:14 PM