GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
AFP

New Delhi: Ribuan individu disahkan positif Covid-19 di tapak perayaan festival keagamaan terbesar di dunia selepas perhimpunan besar-besaran berlangsung di Sungai Ganges dengan pengabaian penggunaan pelitup muka.

Virus berkenaan dikesan di kalangan lebih 1,000 peserta dalam tempoh 48 jam di Haridwar di mana terletaknya Sungai Ganges yang menjadi tumpuan untuk meraikan perayaan Kumbh Mela.

Gelombang baharu Covid-19 kini melanda India dengan pakar menyalahkan acara keagamaan besar-besaran, pilihan raya negeri dan tempat awam yang sesak.

Walaupun berdepan risiko jangkitan, orang awam masih menyertai acara berkenaan.

Pada Isnin dan Selasa, sekumpulan besar individu bersesak di Sungai Ganges untuk ritual mandi.

"Kepercayaan adalah perkara utama bagi kami. Kerana kepercayaan inilah yang membawa semua orang ke Ganga.

"Kami percaya bahawa Maa (emak) Ganga akan menyelamatkan kami dari pandemik ini," kata Siddharth Chakrapani, seorang ahli jawatankuasa festival Kumbh Mela.

Kerajaan Uttarakhand berkata, daripada 50,000 sampel diambil dari peserta di Haridwar, 408 disahkan positif pada Isnin dan 594 lagi pada Selasa.

Jumlah terkini itu direkodkan selepas Ketua Menteri Uttar Pradesh, Yogi Adityanath mengumumkan bahawa dia positif virus berkenaan.

India kini mengatasi Brazil untuk berada di kedudukan kedua negara yang mencatatkan angka tertinggi jangkitan Covid-19 di dunia, berada di belakang Amerika Syarikat.

Ia merekodkan 184,000 kes jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam, satu rekod baharu yang dicatatkan untuk angka harian.

Malah, angka kematian harian juga melebihi 1,000, kali pertama sejak Oktober tahun lalu.

Sehingga kini India mencatatkan hampir 13.9 juta kes positif Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 6:28 PM