DODDY melayan pelanggan di warung nasi kuning ibunya. FOTO Agensi
DODDY melayan pelanggan di warung nasi kuning ibunya. FOTO Agensi
Agensi

Samarinda: Seorang pemuda di Kalimantan Timur, Indonesia menjadi bualan ramai kerana didakwa memiliki wajah persis penyanyi dan pelakon popular Korea Selatan, Lee Min Ho.

Malah, tuah berpihak kepadanya apabila sejak fotonya tular, perniagaan nasi kuning diusahakan bersama keluarga menjadi semakin laris.

Doddy Angga Andrianto, 27, berkata, sejak kebelakangan ini, ramai orang datang ke warung ibunya.

Tidak dinafikan katanya, ada juga wanita yang mengajaknya keluar bersama, namun dia menolaknya dengan cara baik.

Lelaki itu juga tetap meneruskan hidupnya dengan berniaga nasi kuning seperti biasa.

Menurut Doddy, sebelum ini, dia sudah terbiasa apabila ramai orang menganggap rupanya mirip seorang lagi artis Korea Selatan iaitu Siwon.

Selain itu, ada yang mengatakan wajahnya seperti artis popular Hong Kong, Andy Lau, manakala ada juga mendakwa rupanya persis artis Indonesia, Boy William.

"Ada juga yang kata saya ini orang Thailand, Cina dan macam-macam lah," katanya kepada portal Kompas.

Jurulatih kecergasan yang turut menyertai pertandingan bina badan itu berkata, kesukaran mendapatkan pekerjaan sesuai membuatkan dia nekad membantu ibunya berniaga.

"Sudah banyak tempat saya pergi, namun masih belum ada rezeki.

"Kasihan melihat ibu seorang diri berniaga, saya menawarkan diri membantunya sampai sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 7:10 AM