GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

Jakarta: Kegiatan seorang guru di Rejang Lebong, Bengkulu, Indonesia yang menanam ratusan pokok ganja di kebunnya terbongkar selepas ditahan polis, Sabtu lalu.

Portal Kompas melaporkan selain menanam, suspek turut disyaki mengambil ganja dan menjadi pengedar bahan terlarang itu.

Lelaki itu bagaimanapun cuba melindungi perbuatannya dengan menanam ganja di dalam kebun tanaman cili.

Jurucakap polis Jabatan Narkotik, Susilo memaklumkan ratusan pokok ganja ditemui di kebun suspek dan lelaki itu memberi alasan menanamnya untuk mengusir hama.

"Suspek mengaku menanamnya daripada biji benih yang ditemui pada ganja.

"Dia kemudian cuba menanamnya dan percubaannya berhasil apabila pokok ganja tumbuh di kebun cilinya.

"Hasil siasatan dijalankan mendapati suspek turut mengambil ganja dan mengedarnya," katanya.

Sementara itu, Jurucakap Perhubungan Awam Polis Daerah Bengkulu, Sudarno berkata, maklumat berhubung kegiatan suspek diperoleh daripada penduduk setempat.

"Bagi mendapat kepastian, sepasukan anggota polis ditugaskan menjalankan pemeriksaan di kebun suspek dekat Bandar Agung, Kampung Lubuku Alai di daerah Sindang Beliti Ulu (SBU), Rejang Lebong.

"Hasilnya, 400 batang pokok ganja ditemui di antara tanaman cili di kebun itu," katanya.

Suspek dibawa ke Balai Polis Rejang Lebong untuk disoal siasat bersama bahan bukti iaitu pokok tanaman ganja yang dirampas dalam serbuan itu.

Dia turut didakwa atas kesalahan mengambil, mengedar ganja dan berdepan hukuman penjara seumur hidup jika sabit kesalahan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 6:40 AM